Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 14 Oktober 2024, 09:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam kenyataannya menyeru semua pihak supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam akibat tafsiran yang salah terhadap Rang Undang-undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.

Menurut beliau, perbuatan tersebut akan menghalang usaha murni kerajaan untuk mengukuhkan pentadbiran Islam di negara ini.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa penggubalan rang undang-undang tersebut akan menggugat kebebasan warganegara kerana setiap individu mempunyai hak kebebasan sebagaimana yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan walaupun tidak bersifat mutlak kerana dibatasi oleh Perkara 8(5)(a), Perkara 10 dan Perkara 11(5).

Menurut beliau, hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 merujuk kehidupan beragama dan bukanlah hidup tidak beragama yang memperlihatkan hak kebebasan beragama bagi orang Islam ialah kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama sebenar sepertimana yang ditentukan oleh ulil amri atau ketua agama.

Katanya lagi, penentuan ajaran agama Islam yang sebenar hendaklah berlandaskan hukum syarak dan Mufti Wilayah Persekutuan bertanggungjawab menentukan persoalan hukum syarak yang menyentuh undang-undang diri bagi orang Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Selain itu, tindakan mempertikaikan kuasa mufti atas sebab penjawatnya tidak dipilih oleh rakyat adalah tidak berperlembagaan kerana kuasa yang dilaksanakan oleh mufti adalah berdasarkan kuasa yang diperuntukkan oleh akta mengikut bidang kepakaran masing-masing, malah pelantikan mereka dibuat melalui undang-undang dan bukannya secara pentadbiran semata-mata.

Beliau berkata,

Kita seharusnya menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh mufti kerana mufti merupakan pihak berkuasa yang berautoriti untuk memberikan nasihat tentang hukum syarak sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 33, Akta 505 (Fasal 4 RUU Mufti).

Di samping itu, sesuatu fatwa yang diwartakan di bawah RUU Mufti tersebut mengikat orang Islam sahaja serta terhad di bawah bidang kuasa Negeri selaras dengan butiran 1 Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Fatwa tersebut juga tidak boleh bercanggah dengan mana-mana undang-undang bertulis dan perlu mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Majlis Agama Islam terlebih dahulu.

Beliau menegaskan, RUU Mufti yang bakal digubal bertujuan untuk mewujudkan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan di Wilayah Persekutuan sahaja.

Ujar beliau lagi,

Menerusi RUU Mufti, pengasingan kuasa antara jabatan agama Islam, mufti dan mahkamah syariah akan kelihatan lebih jelas.

Pentadbiran keadilan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah dan hukum syarak di bawah bidang kuasa mufti akan ditadbir oleh akta yang berasingan.

Beliau mengajak seluruh umat Islam memberikan sokongan terhadap penggubalan rang undang-undang tersebut kerana usaha tersebut bertujuan untuk memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman bagi undang-undang diri orang Islam, seterusnya menjamin hak keadilan kepada umat Islam di Malaysia.

Rang Undang-undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 memperuntukkan sembilan Bahagian, iaitu Bahagian Permulaan, Mufti dan Timbalan Mufti, Jawatankuasa Fatwa, Pengeluaran Fatwa, Penentuan Kiblat, Jawatankuasa Falak Syarii, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dan Perunding Akidah serta Pelbagai.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi