Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-64 Tahun 1446H/2024M yang berlangsung selama lapan hari melabuhkan tirainya pada malam tadi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dengan Malaysia mengungguli acara tilawah al-Quran bagi kategori qari dan qariah.
Muhammad Husaini Mahmur yang berasal dari Negeri Sembilan dinobatkan sebagai johan bagi acara tilawah kategori qari dengan memperoleh markah sebanyak 95.71 peratus dan diikuti oleh Abdur Rasheed dari Pakistan di tempat kedua dan Wahyu Andi Saputra dari Indonesia di tempat ketiga, masing-masing dengan markah sebanyak 93.59 peratus dan 92.09 peratus.

Johan bagi kategori qariah pula disandang oleh Nor Hidayah Abdul Rahman, berasal dari Terengganu dengan markah sebanyak 91.76 peratus manakala Raihana Ambangala dari Filipina di tempat kedua (90.26 peratus) dan Syamimi Assahira dari Indonesia di tempat ketiga (89.46 peratus).

Sementara itu, pertandingan hafazan al-Quran bagi kategori hafiz dimenangi oleh Oubaydoullah Boubacar Ango dari Niger dengan markah sebanyak 97.63 peratus, disusuli pemenang di tempat kedua, iaitu Ibrahim Sow dari Ivory Coast dan tempat ketiga, iaitu Aeimiddin Farkhudinov dari Russia yang masing-masing meraih markah sebanyak 97 peratus dan 96.88 peratus.

Di samping itu, pertandingan hafazan al-Quran bagi kategori hafizah pula menyaksikan Habsatou Hamissou Boubacar dari Niger muncul johan dengan markah sebanyak 96.13 peratus, manakala Putri Aminah Mohd Hanif dari Malaysia sebagai naib johan dan Fathimah Shaya Zahir dari Maldives di tempat ketiga, masing-masing dengan markah sebanyak 94.89 peratus 94.38 peratus.

Pengumuman keputusan MTHQA Ke-64 tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee selaku pengerusi jemaah hakim.
Johan bagi acara tilawah dan hafazan al-Quran bagi setiap kategori membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM12,000.00 yang ditaja oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, wang tunai daripada Kerajaan Malaysia sebanyak RM40,000.00, hadiah iringan dan sijil.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan untuk berangkat menyempurnakan Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah MTHQA Ke-64 Tahun 1446H/2024M.

MTQHA ke-64 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menampilkan sebanyak 92 orang peserta dari 71 buah negara yang terdiri daripada 53 orang bagi acara tilawah al-Quran dan 39 orang bagi acara hafazan al-Quran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk MTQHA ke-64 ketika menyampaikan sembah ucapan menjunjung kasih berkata,
Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-64 atas penyertaan mereka pada tahun ini.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para duta, wakil negara Islam dan jemaah hakim atas segala usaha dan ilmu yang dicurahkan.
Ujar beliau lagi,
Kehadiran anda semua, wahai ahli al-Quran, ke negara Malaysia merupakan suatu rahmat daripada Allah SWT buat negara kami. Kami memohon kepada anda semua, para hakim dan peserta untuk mendoakan kebaikan, keamanan dan keselamatan bagi rakyat Malaysia khususnya dan umat Islam umumnya.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Imam Besar Masjidilharam, Tuan Yang Terutama Sheikh Dr. Maher Hamad al-Muaiqli.