Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 12 Oktober 2024, 23:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Imam Besar Masjidilharam, Makkah, Tuan Yang Terutama (TYT) Sheikh Dr. Maher Hamad al-Muaiqli mengungkapkan kepentingan al-Quran dalam khutbah Jumaatnya di Masjid Putra, semalam.

Beliau menegaskan dalam khutbahnya bahawa Allah SWT telah memberikan nikmat kepada umat Islam melalui penurunan al-Quran kepada utusan-Nya, Rasulullah SAW yang menghidupkan hati, menerangi jalan, membimbing hamba-Nya ke arah ketenangan jiwa dan memperbaik hasil urusan mereka.

Suasana Masjid Putra, Putrajaya semasa Imam Besar Masjidilharam, TYT Sheikh Dr. Maher Hamad al-Muaiqli menyampaikan khutbahnya.

TYT Sheikh Dr. Maher Hamad al-Muaiqli berkata,

Sesungguhnya al-Quran adalah sebuah kitab yang mana telinga-telinga mendengarkannya, mata-mata terpesona melihatnya dan hati-hati tunduk kepadanya.

Oleh itu, sekiranya kitab suci tersebut diturunkan kepada gunung yang tinggi atau batu yang keras, sudah pasti gunung dan batu itu hancur kerana takut akan Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Ra’d, ayat 31 yang bermaksud:

Dan kalaulah ada mana-mana kitab suci dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya; atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya; atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka al-Quran ialah kitab suci yang mengandungi mukjizat.

Di samping itu, al-Quran yang mulia memperkenalkan hamba-hamba kepada Tuhan mereka, selain menjelaskan nama, sifat dan perbuatan-Nya.

Jelas beliau lagi,

Al-Quran menjelaskan kepada umat manusia tentang penciptaan awal dan akhir mereka, nasib mereka setelah kematian, jalan kebahagiaan yang harus dilewati, jalan kesengsaraan yang perlu dihindari serta natijah orang-orang yang baik dan akibat orang-orang yang buruk.

Imam Besar Masjidilharam, Makkah, TYT Sheikh Dr. Maher Hamad al-Muaiqli (dua dari kanan) diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee (kiri) ketika tiba di Masjid Putra, Putrajaya.

Malah, orang yang membaca al-Quran akan menemukan pelbagai kisah yang berkaitan dengan umat terdahulu dan memerhatikan hukuman yang ditimpakan atas mereka disebabkan kezaliman yang dilakukan seperti hujan batu, serangan suara keras dan ditenggelamkan ke dalam bumi.

Ujar beliau,

Barang siapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Tuhan dan cinta akan Penciptanya, hendaklah dia memperhatikan hatinya terhadap al-Quran.

Di samping itu, beliau turut menyeru umat Islam supaya menerapkan al-Quran dalam kehidupan seharian dengan cara membaca, memahami serta mengamalkannya kerana al-Quran mempengaruhi ibadat, perilaku dan akhlak umat Islam.

Bahkan, satu daripada keistimewaan al-Quran adalah sebagai pemberi syafaat kepada mereka yang mengamalkannya pada hari kiamat sebagaimana dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Al-Quran akan datang pada hari kiamat bersama orang-orang yang mengamalkannya, di hadapan mereka adalah Surah al-Baqarah dan Surah Ali Imran, lalu akan membela pembacanya.

Kata beliau lagi,

Antara amalan Rasulullah SAW (semasa membaca al-Quran) termasuklah Baginda berasa gembira dan berdoa apabila membaca ayat yang mengandungi rahmat manakala apabila Baginda melewati ayat yang mengandungi azab, Baginda berasa takut dan memohon perlindungan.

Sekiranya manusia mengetahui kelebihan membaca al-Quran dengan teliti, sudah pasti mereka akan lebih sibuk dengan perbuatan tersebut berbanding dengan perkara yang lain.

Justeru, bacaan satu ayat al-Quran dengan penuh renungan dan kefahaman adalah lebih baik serta bermanfaat bagi hati berbanding dengan membaca keseluruhan al-Quran tanpa penghayatan.

Para jemaah tekun mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan oleh TYT Sheikh Dr. Maher Hamad al-Muaiqli.

Beliau menyatakan pada akhir khutbahnya bahawa generasi awal umat Islam merupakan umat yang terbaik kerana mengenali keagungan kalam Tuhan, hati mereka menjadi bergetar dan tubuh mereka merinding, lalu mereka membaca ayat-ayat-Nya, merenungi makna, mengamalkan hukum-hakam serta beriman sepenuhnya.

Beliau turut menyarankan agar umat Islam dapat mengadakan sesi pengajian al-Quran untuk menghayatinya dan mendambakan janji Rasulullah SAW yang merangkumi ketenangan, rahmat serta dikelilingi oleh para malaikat.

Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh TYT Sheikh Dr. Maher Hamad al-Muaiqli merupakan satu daripada program yang telah dirancang dalam lawatan rasminya ke Malaysia.

Kredit Foto: Facebook - Dato' Setia Dr. Naim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi