Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKlang – Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor, YB Dr. Mohammad Fahmi Ngah mengingatkan para graduan agar mencari pengalaman dan belajar akan kepelbagaian budaya Islam namun jangan sekali-kali mudah terpengaruh dengan apa-apa fahaman sesat dan ekstrimisme yang tidak sesuai dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mazhab empat imam muktabar, iaitu Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali.
Namun, beliau mengingatkan pelajar bahawa mereka harus ingat sejauh mana pun mereka menuntut ilmu janganlah dilupa akan tradisi pengamalan Islam di negara ini yang cukup sederhana dan meraikan perbezaan pandangan oleh semua pihak.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Konvokesyen Kolej Hafiz ke-21 dan Kualiti Pelajar Cemerlang -Tahun 2024 di Grand Centro Mall hari ini. Beliau mewakili YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari yang tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan penting.
Menurut beliau,
Saya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya mengkhatamkan Hafazan Al-Quran 30 juzuk. Ingatlah perkara yang paling utama dalam kita menghafaz al-Quran adalah kita mengamalkan akhlak al-Quran. Apakah akhlak al-Quran? Akhlak al-Quran seperti dinyatakan oleh ibunda kita Saidatina Aisyah RA dalam hadis riwayat Imam Muslim adalah akhlak Nabi Muhammad SAW. Jadi bawalah akhlak Nabi SAW yang berkasih sayang, bertoleransi, memaafkan, jujur dan amanah dalam kehidupan pelajar semua ketika bergaul dengan komuniti masyarakat kita yang majmuk ini.

YB Dr. Mohammad Fahmi Ngah juga berkata, sebagai pelajar cemerlang mereka hendaklah mengekalkan dan berusaha untuk membuat yang terbaik pada masa akan datang, manakala bagi pelajar yang tidak menerima sijil kecemerlangan pada kali ini jangan berputus asa, teruskan usaha untuk menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Menurut beliau lagi, yang paling penting adalah mesej utama di dalam al-Quran yang perlu dipegang dan disebarkan kepada masyarakat sepanjang zaman, iaitu mentauhidkan Allah SWT, mengangkat martabat hidup manusia, mensucikan jiwa dan menegakkan keadilan buat semua pihak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Hafiz, Tuan Haji Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, kejayaan ini adalah kejayaan semua pihak yang bertungkus lumus menabur jasa dalam mendidik, mengasuh, memimpin para mahasiswa sehingga mencapai kejayaan pada hari ini.
Lantaran itu katanya menjadi harapan agar graduan yang diraikan pada hari ini mengaplikasikan segala ilmu yag dipelajari dengan sebaik-baiknya berlandaskan inti pati al-Quran itu sendiri di samping berupaya menyumbang khidmat bakti terhadap agama, bangsa dan negara.

Ucapan tahniah dikalungkan juga kepada graduan yang bakal melanjutkan pengajian di Universiti Al- Azhar Mesir, Universiti Islam Madinah dan universiti dalam negara.
Turut hadir dalam majlis Konvokesyen Kolej Hafiz ke-21 ialah Presiden Kolej Hafiz, Puan Hajah Asemah Haji Muammad Din, Ketua Pegawai Eksekutif Tuan Haji Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa, Timbalan Setiausaha Operasi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dr. Norzaihan Mohd Zain, Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ustaz Anas Ayob, Ketua Penolong Pengarah Unit Pendidikan Swasta, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Puan Asliza Mohd Sarif, Ketua Penolong Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Tuan Abd Razak Maksud, Penasihat Maahad Hafiz merangkap Mantan Timbalan Mufti Selangor YBhg. Dato’ Dr. Abdul Majid Omar dan ibu bapa serta kaum keluarga pelajar-pelajar yang terlibat.
Sebanyak 23 graduan telah menerima penganugerahan Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat dan seramai itu juga telah menerima Sijil Khatam Hafazan al-Quran 30 juzuk, manakala sebanyak dua orang telah menerima Anugerah Sijil Syahadah Tinggi Hafazan al-Quran 30 juzuk.
Lebih membanggakan juga, tahun ini adalah majlis sambutan lebih dua dekad Kolej Hafiz berdiri di tanah Selangor ini. Komemoratif yang membawa maksud kenangan atau suatu memori memperingati usaha tahfiz ini dalam membina dan melahirkan generasi Al-Quran professional semenjak tahun 2001 hingga 2024.