Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Al-Quran bukan sahaja berfungsi sebagai kompas spiritual, tetapi menjadi panduan yang menyeluruh bagi kehidupan manusia dalam semua aspek melangkaui masa dan ruang, malah memberikan sebuah wawasan besar yang meraikan umat manusia merangkumi pelbagai latar belakang dan budaya di seluruh dunia.
Demikian ujar Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof ketika berucap dalam Simposium al-Quran Sedunia 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, tengah hari semalam.
Ujar beliau,
Simposium ini menjadi bukti komitmen kita untuk meneroka dan menghargai prinsip al-Quran yang membentuk kehidupan dan masyarakat kita.
Penganjuran program ini menyediakan platform kepada para sarjana, pemikir dan umat Islam dari seluruh dunia untuk berinteraksi, bertukar idea dan memperdalam kefahaman kita tentang mesej al-Quran yang kekal.

Selain itu, al-Quran turut menekankan beberapa perkara yang signifikan dari aspek dasar seperti pencerahan kepada individu yang mencari kepuasan spiritual dan bimbingan moral, penyelidikan intelektual, kepentingan perpaduan dalam kalangan manusia, serta perjuangan keadilan sosial dan kesaksamaan.
Beliau berkata lagi,
Sebagai pemimpin yang diamanahkan dengan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dan mengemudi negara kita ke hadapan, kita mesti mengambil inspirasi daripada ajaran al-Quran untuk membimbing tindakan dan keputusan kita.
Di samping itu, konsep Al-Falah (kejayaan dunia dan akhirat) yang diambil daripada al-Quran dan sunah menyediakan kerangka yang menyeluruh untuk kepimpinan, pengurusan individu dan hala tuju masyarakat.

Beliau turut menyatakan tiga elemen penting dalam al-Quran untuk membentuk kepimpinan yang berwibawa, iaitu pertama ialah kelakuan etika seperti integriti, kejujuran dan ketelusan dalam pemerintahan; kedua ialah keadilan kepada semua anggota masyarakat tanpa mengira latar belakang atau status mereka; dan ketiga ialah belas kasihan sesama manusia melalui sikap empati serta mengutamakan keperluan golongan lemah dan terpinggir.

Al-Quran juga menggalakkan umat Islam untuk berusaha mencapai kecemerlangan (ihsan) dalam semua usaha yang dilaksanakan sama ada dalam bidang tadbir urus, ekonomi, pendidikan mahupun inovasi untuk merealisasikan potensi dan meningkatkan daya saing negara.
Menurut beliau lagi,
Prinsip (yang terkandung dalam al-Quran) bukan sahaja menyumbang kepada kejayaan organisasi tetapi memupuk rasa tanggungjawab sivik dan kepimpinan beretika selaras dengan perspektif kontemporari mengenai amalan pengurusan yang lestari dan bertanggungjawab secara sosial.

Beliau mengajak para hadirin untuk mengintegrasikan ajaran al-Quran dalam amalan dan dasar tadbir urus serta kehidupan peribadi supaya dapat menegakkan nilai mulia yang terkandung dalam keimanan umat Islam dan memenuhi tanggungjawab untuk memimpin negara ke arah lebih makmur pada masa hadapan.
Beliau turut menyeru para hadirin untuk mengambil peluang ini bagi memperbaharu komitmen dalam pemerkasaan prinsip yang terkandung dalam al-Quran.