Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 11 Oktober 2024, 09:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran Simposium al-Quran Sedunia 2024 bersempena dengan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyerlahkan inti pati dan kemukjizatan yang terkandung dalam al-Quran melalui perkongsian daripada pakar bertaraf antarabangsa dalam bidang tersebut.

Perasmian simposium tersebut telah disempurnakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, tengah hari semalam.

Antara pengisian program termasuklah pembentangan kertas kerja yang bertajuk “Mukjizat al-Quran Mentransformasi Umat” oleh Profesor Pelawat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBrs. Profesor Dr. Jasser Auda.

Dalam sesi pembentangan tersebut, beliau berkongsi tentang umat Islam yang mengikut ajaran al-Quran mampu membina ketamadunan yang hebat di dunia merangkumi masyarakat yang sejahtera, kaedah saintifik yang lebih inovatif, kota yang bersih, rakyat yang sihat dan bahagia, serta kekayaan kesusasteraan.

Menurut beliau, al-Quran mempunyai lima keunikan, iaitu keajaiban linguistik (i’jaz lughawi), keajaiban sejarah dan maklumat (i’jaz tarikhi wa khabari), keajaiban saintifik (i’jaz ilmi), keajaiban perundangan (i’jaz tasyri’i) dan keajaiban psikologi (i’jaz nifsi).

Profesor Pelawat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBrs. Profesor Dr. Jasser Auda ketika membentangkan kertas kerjanya.

Di samping itu, turut berlangsung sesi forum berkaitan dengan “al-Quran dan Kesejahteraan Tamadun Insan” yang menampilkan tiga orang ahli panel yang terkemuka, iaitu Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty; Ahli Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Azizan Baharudin; dan Naib Canselor, Universiti Islam Selangor, YBhg. Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah.

Forum tersebut membahaskan persoalan kemanusiaan asas kepada kesejahteraan, konsep al-tawazun (keseimbangan) mengikut neraca al-Quran, permasalahan pengetahuan yang dimiliki oleh umat Islam tidak membawa perubahan disebabkan persepsi kepercayaan kepada perkara ghaib, dan elemen utama untuk membina kesejahteraan yang terdiri daripada keadilan, ilmu serta islah.

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty (dua dari kiri); Ahli Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Azizan Baharudin (dua dari kanan); dan Naib Canselor, Universiti Islam Selangor, YBhg. Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah (kanan) semasa sesi forum berlangsung.

Sementara itu, hakim MTHQA ke-64, TYT Sheikh Dr. Sameh Ahmad Khaleed Athamneh menyampaikan ucaptama beliau tentang kelebihan membaca al-Quran tanpa meninggalkannya.

Dalam petikan ucaptamanya, beliau menjelaskan sesungguhnya al-Quran mempunyai kedudukan tertinggi dalam jiwa umat Islam yang tiada bandingannya dari sudut kesucian, keagungan dan kehormatannya kerana al-Quran merupakan undang-undang yang kekal untuk syariat, hukum-hakam dan cara hidup.

Selain itu, antara kelebihan membaca al-Quran termasuklah amalan tersebut merupakan sebaik-baik ibadat di sisi Allah, memberikan syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat, dan mempunyai ganjaran pahala besar yang berlipat ganda bagi setiap huruf dan kalimah yang dibacakan.

Ucaptama Simposium al-Quran Sedunia 2024 oleh satu daripada hakim MTHQA ke-64, TYT Sheikh Dr. Sameh Ahmad Khaleed Athamneh .

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam ucapan alu-aluannya berkata,

Simposium ini diadakan sebagai piawai kepada kemuculan lebih ramai ahli pemikir, pakar dan pemimpin yang memupuk sikap kesederhanaan dan daya tahan untuk menangani pelbagai cabaran semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Simposium tersebut bertemakan “Transformasi Ummah melalui Kemukjizatan al-Quran” bertujuan untuk memupuk persekitaran masyarakat yang cinta akan al-Quran melalui penyelidikan dan pembangunan terhadap kandungan al-Quran selain meningkatkan penghayatan masyarakat tentang kepentingan membaca, memahami serta mengamalkan ibrah ayat-ayatnya.

Turut hadir memeriahkan majlis perasmian simposium tersebut ialah Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, perwakilan asing, jemaah hakim dan peserta MTHQA ke-64.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi