Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu melaksanakan islah dengan menjajarkan semula fungsi dan peranannya untuk memenuhi hasrat negara pada hari ini.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, JAKIM menjadi agensi yang menyokong dan menjadikan kerajaan sebagai sandaran untuk menerajui aspirasi kerajaan kerana JAKIM memiliki pelbagai fungsi yang boleh membantu pelaksanaan gagasan Malaysia MADANI melalui kolaborasi bersama-sama pihak lain seperti Institut Darul Ehsan dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).
Jelas beliau, hal ini disebabkan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia semakin mencabar dengan kewujudan teknologi kerana masyarakat mudah mencapai segala maklumat di hujung jari yang boleh memberikan kesan positif dan negatif.
“Peranan JAKIM merangkumi banyak aspek dan paling utama adalah menyelaraskan pentadbiran hal ehwal agama Islam di Malaysia dari segi pembangunan umat, dakwah, halal, penguatkuasaan, pendakwaan dan begitu juga dengan beberapa perkara berkaitan dengan urusan pendaftaran nikah, cerai dan rujuk,” katanya dalam program “Fikrah: Islah JAKIM” di Angkasapuri, semalam.
Beliau menjelaskan bahawa YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu melihat JAKIM lebih proaktif melaksanakan tindakan dan tidak terlalu bersikap defensif terhadap isu-isu yang diketengahkan oleh masyarakat.
Ujar beliau,
Kita tidak boleh walking in silo (bekerja secara berasingan). Jika dahulu, mungkin ada pihak yang berkata tidak mengapa (kerana) ruang lingkup JAKIM, bekerja sedaya yang mampu, namun pendekatannya pada hari ini tidak lagi begitu.
Kita perlu bekerjasama dengan suatu ikatan yang erat bersama negeri-negeri, di samping dengan semua pihak berkuasa sama ada polis, Kementerian Dalam Negeri, Majlis Keselamatan Negara mahupun mereka yang ada autoriti dalam bidang tertentu untuk menangani sebarang isu yang dihadapi, bukan sahaja ajaran sesat, (bahkan) apa-apa jua program dan pendekatan yang hendak dibawa oleh JAKIM.
Beliau yakin bahawa usaha yang dilaksanakan untuk menangani apa-apa juga isu yang dihadapi oleh JAKIM akan lebih utuh dengan kolaborasi dan kerjasama bersama-sama agensi lain.
Selain itu, isu ajaran sesat dan menyeleweng daripada akidah Ahli Sunah Waljamaah merupakan satu daripada bidang tugas JAKIM yang mencabar.
Dalam hal ini, aspek perundangan perlu diambil kira kerana perkara tersebut terletak di bawah bidang kuasa negeri.
Oleh itu, usaha JAKIM adalah untuk memastikan penyelidikan yang terperinci dilaksanakan oleh Bahagian Penyelidikan apabila menerima sesuatu maklumat dan dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia agar satu pandangan hukum dapat dikemukakan dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut untuk difatwakan di majlis fatwa negeri.
Sementara itu, beliau menyentuh masalah pensijilan halal yang kini berlaku disebabkan oleh tiga perkara, iaitu kesukaran prosedur permohonan, bayaran fi pensijilan yang mahal dan kelewatan proses pengesahan sijil halal.
Maka itu, antara tindakan susulan yang dilaksanakan oleh JAKIM untuk menyegerakan proses permohonan pensijilan halal termasuklah memanfaatkan kemudahan teknologi, di samping menyeimbangkan keperluan, kehendak dan logik pelaksanaan supaya tempoh JAKIM menangani sesuatu permohonan tersebut bersesuaian dan memenuhi kehendak pemegang taruh yang berkenaan.
Beliau menyeru warga JAKIM agar bekerja bersama-sama demi kepentingan jabatan yang merupakan milik umat Islam, melaksanakan tanggungjawab, merapatkan saf serta berganding bahu atas nama agama dan negara supaya JAKIM dapat menerajui perkhidmatan hal ehwal Islam dengan lebih sempurna sebagaimana ucapan sulungnya sebagai Ketua Pengarah JAKIM pada 4 Oktober yang lalu.