Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 6 Oktober 2024, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Multaqa Murabbi Institusi Pendidikan Islam (IPI) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menghimpunkan dan menyantuni kira-kira 1000 orang murabbi dalam kalangan pentadbir premis, guru sekolah agama, tahfiz, pondok dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dari seluruh negara.

Perasmian multaqa tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar di Auditorium Kompleks Pusat Islam, JAKIM, semalam.

Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam suatu kenyataannya berkata, multaqa tersebut merupakan medan cetusan kebijaksanaan baharu (new wisdom) yang relevan menerusi peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin institusi pendidikan untuk mendepani cabaran pada masa kini.

Selain itu, multaqa tersebut turut menjadi medan perkongsian ilmu pengetahuan dan kerjasama untuk memberikan impak kepada peningkatan kompetensi seterusnya menerajui IPI ke arah kecemerlangan.

Sebelum itu, antara pengisian yang diadakan dalam program tersebut termasuklah pembentangan tiga kertas kerja oleh Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Profesor Dr. Mohd Mahzan Awang; Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, YBrs. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil; dan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan JAKIM, YBrs. Dr. Sa’adi Awang.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan acara penyampaian cek cura Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Selenggara dan Naik Taraf IPI sebagai tanda keprihatinan kerajaan persekutuan kepada IPI dan para murabbi.

Jabatan Agama Islam Sarawak merupakan satu daripada penerima Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Selenggara dan Naik Taraf IPI .

Justeru, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kewangan Malaysia telah memperuntukan jumlah yang besar kepada IPI untuk meningkatkan kemudahan dan prasarana premis IPI yang sedia ada, di samping memberikan keselesaan kepada warga IPI untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Sementara itu, penganjuran program ini bertujuan untuk menjelaskan isu semasa yang melibatkan pengurusan pendidikan serta memperkasakan hubungan kerjasama strategik antara JAKIM dengan pihak berkuasa agama negeri yang terlibat dalam pengurusan IPI.

Impak daripada pelaksanaan Multaqa Murabbi IPI Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 diharapkan dapat menambah baik tadbir urus, mendukung akauntabiliti dan ketelusan dalam berperanan sebagai penggerak utama dalam pembangunan pendidikan Islam supaya penyampaian perkhidmatan para murabbi lebih cekap, diyakini dan dipercayai oleh rakyat Malaysia.

Kredit Foto: Facebook - Dato' Setia Dr. Naim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi