Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Wacana pemikiran tokoh ulama terkemuka seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi dan ulama lain wajar diperluas demi mengangkat semula kewibawaan umat Islam pada hari ini.
Demikian menurut Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), YBrs. Ustaz Hasri Harun semasa menyampaikan ucapan penutup Seminar Fikrah Madani Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi pada petang semalam di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan.
“Saya percaya bahawa pembentangan kertas kerja daripada semua panelis dalam seminar ini menunjukkan bahawa negara kita mempunyai potensi yang besar untuk memacu ke hadapan melalui pembudayaan program keilmuan yang boleh membawa ke arah kesejahteraan umat.
Justeru, dengan adanya program seperti ini, wacana pemikiran tokoh yang dilaksanakan bersama-sama agensi kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sebagai satu daripada isyarat untuk kita saling mengadakan kerjasama yang lebih erat,” katanya.
Ujarnya, pendekatan Islam yang murni, kasih sayang dan saling menghormati merupakan suatu usaha dakwah yang penting, tetapi perkara yang lebih utama ialah sikap dan kematangan untuk mengembangkan dakwah.
Beliau turut menyatakan bahawa sikap sebahagian umat Islam yang menimbulkan persepsi bahawa kedudukan umat Islam di negara ini terancam dengan pelbagai cabaran mendatang sehingga berada dalam kepompong ketakutan menzahirkan kelemahan kepada umat Islam, sedangkan negara mempunyai peruntukan perlembagaan yang menjamin kedudukan agama Islam.
“Oleh itu, umat Islam dalam negara ini perlu diterapkan dengan pemikiran wasatiyah (kesederhanaan), nilai keilmuan yang kuat, kefahaman Islam yang betul dan sikap saling menghormati dalam perbezaan pendapat seperti yang disebut oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam penulisannya kerana masih ada segelintir masyarakat yang tidak memahami asas kekuatan pemikiran beliau,” katanya.
Tambah beliau, peranan umat Islam sebagai masyarakat majoriti hendaklah menampilkan wajah dan pemikiran Islam yang baik kepada masyarakat bukan Islam supaya mereka memahami kelebihan Islam dan hikmahnya.
Sebelum itu, berlangsung forum khas yang bertajuk “10 Agenda Transformasi Wacana Pemerkasaan Ummah” yang menampilkan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, YBrs. Dr. Salimah Abu Mansor dan Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Dakwah Islam Malaysia, YBrs. Tuan Haji Zamri Zainal Abidin sebagai ahli panel.

Forum tersebut menyentuh pendekatan untuk memperkasakan umat Islam menerusi 10 wasiat terakhir Dr. Yusuf al-Qaradawi yang dipetik daripada Muqaddimah Mausu’ah li al-Qaradawi, iaitu membahaskan tiga peringkat pelaksanaannya, iaitu al-tanwir (pencerahan), al-tahrir (pembebasan) dan al-taghyir (perubahan) serta penerapannya dalam gagasan MADANI yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Selain forum khas, turut diadakan sesi pembentangan kertas kerja oleh Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty; Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Sahibus Samahah Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman; Penasihat Syariah Kewangan Islam, YBrs. Dr. Zaharuddin Abd Rahman dan YBrs. Ustaz Marwan Bukhari yang merupakan seorang penulis.
Seminar Fikrah Madani Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi merupakan anjuran WADAH bersama Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan.