Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sabah buat julung-julung kalinya menganjurkan Festival Kesenian Islam Peringkat Negeri Sabah 2024 atau iFest 2024 di pusat beli-belah, berbanding dengan iFest sebelum ini yang diadakan di dewan tertutup.
iFest 2024 diadakan di Pusat Beli-belah 1Borneo pada 20 hingga 21 September 2024 yang lalu, sekali gus mempromosikan program kesenian Islam agar masyarakat sinonim dengan program seumpama ini.

Pengarah KEMAS Negeri Sabah, Encik Ahmad Fakrul Azman Muhammad Radzi berkata, hal yang demikian seterusnya dapat memastikan pendidikan sepanjang hayat terus mendapat sambutan.
“Festival Kesenian Islam atau iFest dianjurkan bagi membangkitkan semangat jati diri dan membina tanggungjawab warga Sabah untuk menyuburkan kesenian Islam.
“Hal ini selari dengan tuntutan agama, selain menonjolkan bakat masing-masing khususnya dalam kalangan belia dan masyarakat luar bandar,” katanya pada Majlis Penutupan iFest di Pusat Beli-belah 1Borneo, baru-baru ini.

Hadir merasmikan Majlis Penutupan iFest 2024 ialah Encik Matlan Taman yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.16 Karambunai, Yang Berhormat Datuk Yaakub Khan.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada KEMAS Sabah atas penganjuran iFest pada kali ini.
“Harapan saya, semoga usaha murni iFest ini menjadi platform untuk menyampaikan mesej Islam berbentuk kesenian, sekali gus menerapkan unsur Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri kita,” ujarnya.
Penganjuran iFest pada kali ini merangkumi pertandingan dai, tilawah dan nasyid yang melibatkan enam zon, iaitu Zon 1 (Daerah Kudat, Kota Marudu, Kota Belud), Zon 2 (Daerah Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan), Zon 3 (Daerah Papar, Beaufort dan Sipitang), Zon 4 (Daerah Tenom, Keningau, Pensiangan dan Ranau), Zon 5 (Daerah Beluran, Sandakan dan Kinabatangan) dan Zon 6 (Daerah Tawau, Semporna dan Lahad Datu).
Bagi pertandingan dai kategori lelaki, johan dinobatkan kepada Zon 2, naib johan pula dinobatkan kepada Zon 3 dan tempat ketiga dinobatkan kepada Zon 6.
Bagi pertandingan dai kategori perempuan, johan dinobatkan kepada Zon 3, naib johan pula dinobatkan kepada Zon 5 dan tempat ketiga dinobatkan kepada Zon 1.
Bagi pertandingan tilawah kategori lelaki, johan dinobatkan kepada Zon 5, naib johan pula dinobatkan kepada Zon 3 dan tempat ketiga dinobatkan kepada Zon 6.
Bagi pertandingan tilawah kategori perempuan, johan dinobatkan kepada Zon 5, naib johan pula dinobatkan kepada Zon 3 dan tempat ketiga dinobatkan kepada Zon 4.
Bagi pertandingan nasyid, johan dinobatkan kepada Zon 4, naib johan pula dinobatkan kepada Zon 3 dan tempat ketiga dinobatkan kepada Zon 5.
Johan keseluruhan dinobatkan kepada Zon 5 manakala para pemenang yang mendapat johan dalam setiap kategori bakal bertanding pada peringkat kebangsaan di Melaka pada tahun hadapan.