Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya– Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada 18 September 2024 bersetuju untuk mengekalkan dasar sedia ada, iaitu permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bersifat sukarela sejak mula dilaksanakan pada tahun 1974 dan diperkukuh dengan Akta Perihal Dagangan 2011.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar sedia ada ini kekal dan terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.
“Sehubungan dengan itu, SPHM yang diperoleh tersebut akan memberikan nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata, JAKIM menggesa pemain industri, khususnya dalam kalangan industri mikro dan kecil agar memohon SPHM memandangkan hal tersebut boleh memberikan jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk menggunakan premis berkenaan tanpa keraguan.
Tambahnya, pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi pembimbing usahawan pada peringkat persekutuan, negeri dan swasta telah menawarkan pelbagai insentif dan inisiatif dalam bentuk latihan dan bimbingan serta geran kepada pihak industri untuk memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan boleh diberikan sijil halal.
Selain itu, JAKIM telah memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia untuk mempercepat pengurusan pensijilan halal Malaysia dalam tempoh 30 hari, dan statistik menunjukkan bahawa antara bulan Januari 2024 hingga Julai 2024, kira-kira 96 peratus permohonan berjaya diurus dalam tempoh 30 hari tersebut.
Usaha proaktif ini berupaya menjadi satu daripada tarikan kepada pihak industri untuk memohon SPHM.
JAKIM, MAIN dan JAIN sentiasa komited untuk terus memperkemas polisi dan dasar sedia ada demi menambah baik pengurusan pensijilan halal dan sistem penyampaian perkhidmatan pensijilan halal dari semasa ke semasa bagi memastikan pensijilan halal Malaysia terus diyakini dan kekal sebagai rujukan dunia.
“JAKIM akan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kesedaran semua pihak tentang kepentingan serta kebaikan sijil halal Malaysia dalam industri makanan dan perniagaan,” katanya.
Pada masa sama, kata beliau, JAKIM, MAIN dan JAIN juga akan bertindak tegas kepada individu atau mana-mana pihak yang cuba memalsukan SPHM demi memastikan kualiti dan standard pensijilan halal Malaysia sentiasa terpelihara.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited untuk terus memperkukuh pengurusan pensijilan halal Malaysia demi kepentingan dan kebaikan untuk negara,” tambah beliau.