Diterbitkan pada 3 Ogos 2024, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pelajar pengajian Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (al-Quran dan al-Hadith) dari Universiti Malaya (UM), Daie Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) atau DMY Fateh muncul sebagai Juara Perdana Pentas Akhir Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) 2024, sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, trofi dan jambangan bunga.

Beliau yang menyampaikan persembahan tentang bahaya pornografi di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin pada malam tersebut turut dinobatkan sebagai pemenang kategori Imam Muda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Mohd Na’im Mokhtar berkata, ADMY yang memasuki siri keenam ini merupakan terjemahan kepada gagasan Pelan Transformasi al-Falah melalui teras yang keempat, iaitu kepimpinan berdaya cipta dalam usaha memantapkan bakat dan daya kepimpinan khusus bagi melahirkan pendakwah muda pada masa kini.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian mereka yang telah digilap bakat masing-masing oleh YADIM.

“Alhamdulillah, musim ini, seramai 31 orang peserta telah terpilih memasuki Akademi Daie Muda YADIM yang berlangsung di Institut Latihan Dakwah YADIM di Hulu Langat,” katanya.

Tahniah diucapkan kepada DMY Fateh yang telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Daie Muda YADIM.

“Inilah komitmen saya di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui YADIM untuk terus memperkasakan anak-anak muda khususnya belia dakwah,” ujar beliau.

Tambah beliau, usaha gigih pelatih tidak seharusnya terhenti setakat ini sahaja kerana selepas ini, mereka perlu mempraktikkan segala yang telah dipelajari sepanjang berada di ADMY.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyempurnakan Pra Pelancaran Program Dakwah Negara 2024, iaitu program yang diterajui oleh YADIM bersama-sama agensi lain di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bakal diadakan selama dua bulan bermula pada 31 Ogos hingga 31 Oktober ini.

Sementara itu, DMY Annisha berjaya meraih gelaran Muslimah Muda manakala DMY Farhat pula dinobatkan sebagai pemenang kategori Teknodaie.

Kemenangan tersebut membolehkan mereka meraih wang tunai RM5,000, trofi dan jambangan bunga.

Pentas Akhir ADMY 2024 semalam menyaksikan tujuh finalis membuat persembahan daripada sejumlah kesemua 31 pelatih ADMY 2024.

Empat lagi finalis, iaitu DMY Nabil, DMY Shahida, DMY Ruqayya dan DMY Hani pula masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM1,000, barangan penjagaan diri Halagel dan bunga, manakala kesemua 31 orang pelatih ADMY turut menerima hamper produk Halagel dan baucar tunai produk MyAngkasa Amanah Berhad bernilai RM400.

Hadiah kepada para pemenang Pentas Akhir ADMY 2024 telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar yang juga menyempurnakan majlis ini.

Hadir sama ke majlis ini ialah Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, timbalannya, Prof. Madya Dr. Adi Anuar Azmin, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Ketua Pegawai Eksekutif, Ustaz Zamri Zainal Abidin serta wakil jabatan dan agensi agama.

Pentas Akhir ADMY semalam yang berlangsung dengan penuh meriah dengan kehadiran 500 orang tetamu turut disiarkan secara langsung melalui Facebook YADIM, https://www.facebook.com/yadimmalaysia/videos/1097165645375150.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi