Diterbitkan pada 8 Julai 2024, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Dato’ Seri Hassan Ahmad yang merupakan mantan Mufti Pulau Pinang diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan untuk tahun 1446H/2024M.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Tahun 1446H/2024M yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Turut berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Dato’ Seri Hassan Ahmad yang dilahirkan di Kepala Batas, Pulau Pinang berkelulusan Sarjana Muda di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri, Kelantan pada tahun 1972 sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana Usul al-Fiqh dari Fakulti Syariah, Universiti Al-Azhar Mesir pada tahun 1972.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan Dekan Fakulti Syariah Universiti Malaya sebelum dilantik menjadi Mufti Negeri Pulau Pinang pada tahun 1997 hingga 2014.

Pemilihan beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dibuat berdasarkan sumbangan besar dan khidmat cemerlang dalam menjaga hal ehwal agama negeri dan perkembangan syiar Islam serta penglibatan yang aktif dalam bidang pendidikan.
Beliau berhasrat agar pengajaran Islam dapat dijalankan meliputi semua bidang dan secara menyeluruh di Malaysia.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan atas penganugerahan tersebut.

“Saya akan mencuba sebaik mungkin membantu kerajaan untuk melaksanakan konsep Malaysia Madani,” katanya dalam sidang media ringkas yang diadakan selepas majlis sambutan tersebut.

Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI”.

Pada majlis yang sama, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Profesor Dr. Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Penerima anugerah menerima wang tunai, trofi dan sijil penghargaan.

Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1446H/2024M Kebangsaan dan Antarabangsa, Dato’ Seri Hassan Ahmad dan Profesor Dr. Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi.  (Sumber foto: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi