Diterbitkan pada 2 Julai 2024, 23:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sheikh al-Azhar al-Imam Akbar Sheikh Profesor Dr. Ahmed Mohammed al-Tayyib mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama empat hari bermula pada 2 Julai hingga 5 Julai 2024.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, kedatangan beliau ke sini bertujuan untuk memenuhi undangan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Diraja Anwar Ibrahim.

“Lawatan rasmi ini sudah tentu akan memberikan makna besar kepada usaha pengukuhan perpaduan umat Islam selain memperkukuh keakraban hubungan antara Malaysia dengan Mesir,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pada masa yang sama, kehadiran Profesor Dr. Ahmed Mohammed al-Tayyib nanti turut akan memantapkan usaha pembangunan Islam di Malaysia khususnya pendidikan Islam dan tahfiz.

Beliau berkata, selain pertemuan bersama-sama Perdana Menteri, beberapa program melibatkan beliau telah dirancang sepanjang lawatan rasmi Sheikh al-Azhar tersebut.

Katanya, program tersebut antaranya termasuklah Lawatan serta Bicara Eksekutif MADANI di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia; Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana di sini, serta Sesi Pertemuan bersama-sama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat yakin bahawa lawatan rasmi ini akan membawa manfaat kepada keharmonian serta perpaduan masyarakat dan negara.

“Semoga segala perancangan yang disusun ini akan berjalan dengan jayanya,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi