Diterbitkan pada 10 April 2026, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ibrah bermaksud pengajaran. Ahzab bermaksud golongan yang bersepakat untuk memerangi Rasulullah SAW.

Perang Ahzab, merupakan peristiwa pengepungan Madinah selama lebih dari empat minggu oleh gabungan orang Arab dan Yahudi. Perang ini berlaku pada bulan Syawal dan berakhir pada 7 Zulkaedah tahun kelima Hijrah.

Perang Ahzab berpunca daripada dendam dan hasutan kaum Yahudi Bani Nadir yang diusir dari Madinah, bersatu dengan musyrikin Quraisy dan kabilah Arab yang takut melihat pengaruh Islam yang semakin berkembang.

Gabungan ini membentuk tentera Ahzab berjumlah lebih daripada 10 000 orang yang dilengkapi ratusan kuda dan unta. Mereka berhasrat menghapuskan Islam dan menamatkan dakwah Rasulullah SAW. Sementara itu, orang Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW untuk mempertahankan Madinah hanya sekitar 3000 orang.

Perang Ahzab juga dikenali sebagai Perang Khandak yang bermaksud parit kerana strategi utama umat Islam pada ketika itu adalah dengan menggali parit besar di bahagian utara kota Madinah sebagai benteng pertahanan. Sebaik-baik menerima berita Madinah akan diserang, Rasulullah SAW bermesyuarat dengan para sahabat. Salman al-Farisi RA, mencadangkan agar parit digali sebagai strategi pertahanan. Cadangan tersebut walaupun cadangan yang asing dalam kalangan bangsa Arab, telah diterima oleh Rasulullah SAW.

Baginda turun bersama-sama dengan para sahabat, mengangkat tanah, memecahkan batu, dan merasai kelaparan yang sama untuk menyiapkan parit dengan semangat yang tidak pernah luntur seperti yang disebut dalam hadis:

Maksudnya: “Nabi SAW turut mengangkut tanah bersama-sama dengan mereka (para sahabat) pada hari Khandak sehingga perut Baginda dipenuhi debu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Ketika tentera Ahzab sampai, mereka terkejut apabila melihat parit yang menghalang kemaraan mereka dan mula berasa goyah. Pada waktu yang sama, dari dalam Madinah berlaku pengkhianatan oleh Yahudi Bani Quraizah yang melanggar Piagam Madinah. Piagam tersebut menjanjikan keadilan kepada semua penduduk Madinah dengan syarat mereka bersama-sama mempertahankan Madinah jika diserang. Namun begitu, Bani Quraizah telah belot dan memilih untuk bersama-sama dengan musyrikin Makkah.

Keadaan orang beriman ketika itu digambarkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

Maksudnya: “Dan ketika orang yang beriman melihat tentera al-Ahzab, mereka berkata, ‘Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada kami.’ Benarlah (apa-apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya. (Angkatan tentera musuh yang dilihat oleh mereka) itu tidak memberikan kesan selain menambahkan iman dan penyerahan diri mereka kepada Allah.” (Surah al-Ahzab 33:22).

Ketika saat paling genting, Rasulullah SAW mengangkat tangan berdoa dengan penuh pengharapan kepada Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, Yang Maha Cepat dalam membuat perhitungan, kalahkanlah tentera Ahzab, Ya Allah kalahkan dan goncangkan mereka.” (Hadis riwayat Muslim).

Allah SWT menukilkan kisah peperangan kaum Muslimin menentang tentera Ahzab dan cara datangnya bantuan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah (yang dikurniakan) kepada kamu ketika bala tentera (al-Ahzab), datang kepadamu, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan (yang kencang) dan bala tentera (dalam kalangan malaikat) yang tidak dapat kamu lihat! Dan (ingatlah), Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu lakukan. Ketika itu, tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah atas (timur) dan dari sebelah bawah (barat) (tempat pertahanan) kamu dan ketika penglihatanmu tidak tentu arah (kerana gempar dan bingung) dan hatimu resah gelisah (kerana cemas takut) dan kamu berprasangka pula terhadap Allah dengan pelbagai sangkaan.” (Surah al-Ahzab 33:9–10).

Berkat kesungguhan, kebijaksanaan perancangan, dan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT, maka dengan pertolongan-Nya, umat Islam mencapai kemenangan. Angin kencang bertiup dahsyat sehingga khemah musuh tercabut, api mereka terpadam, malah hati mereka dipenuhi ketakutan. Tanpa pertempuran besar, mereka tewas dan berundur.

Peristiwa ini mengandungi beberapa ibrah atau pengajaran penting.

  • Pertama: Umat Islam wajib bersiap sedia untuk menghadapi ancaman musuh yang sentiasa membuat kesepakatan (ahzab) untuk mengalahkan Islam dan menghentikan kebenaran agama tauhid.
  • Kedua: Umat Islam mesti bersepakat merancang strategi dan usaha yang bijaksana bagi menghadapi cabaran dan mengurus kemaslahatan ummah. Konsep syura hendaklah diutamakan dengan mengalu-alukan cadangan bernas yang membawa kebaikan selagi tidak bercanggah dengan prinsip syariat.
  • Ketiga: Kesatuan ialah kunci kekuatan dan kemenangan. Oleh itu, ummah dianjurkan memberikan tumpuan terhadap titik persamaan dan bertolak ansur pada perkara khilafiah.
  • Keempat: Umat Islam sentiasa berdoa memohon pertolongan Ilahi. Pertolongan Allah SWT sentiasa dekat bersama-sama dengan orang yang beriman asalkan kita terus berdoa tanpa putus asa.
  • Kelima: Pemimpin hendaklah meneladani Rasulullah SAW yang sentiasa bersama-sama dengan umatnya sewaktu susah dan senang.

Kesimpulannya, Perang Ahzab mengajar kita bahawa kemenangan bukan semata-mata bergantung pada jumlah tentera atau kekuatan senjata, tetapi pada kebijaksanaan strategi, kesatuan hati, kecekalan usaha dan tawakkal kepada Allah SWT berserta doa.

Kini, umat Islam sedang berdepan dengan “ahzab moden”. Bersama-samalah kita mengukuhkan perpaduan, meneeguhkan iman dan amal, serta meningkatkan kebijaksanaan untuk menghadapinya. Semoga Islam dan umatnya terus gemilang dan kuat, serta mendapat pertolongan Allah SWT.


Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 10 April 2026, bertajuk “Ibrah daripada Peperangan Ahzab”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi