Diterbitkan pada 24 Disember 2025, 01:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kita boleh memilih untuk terus terjebak dalam kancah kitaran kebencian dan kemarahan, atau berubah dengan mengawal diri dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Dalam kepesatan dunia hari ini, masyarakat seolah-olah semakin hilang pedoman agama yang seharusnya menjadi asas kehidupan. Apakah sebenarnya yang berlaku sehingga manusia tergelincir ke dalam jurang yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan? Sepanjang tahun 2025, kita dipaparkan dengan pelbagai kisah yang meruntun perasaan. Keruntuhan akhlak dan penghakisan nilai moral semakin ketara dalam masyarakat. Kejadian tragis seperti pergaduhan dalam kalangan ahli keluarga yang berakhir dengan kehilangan nyawa memperlihatkan betapa seriusnya masalah ini.

Pada hakikatnya, perubahan sesebuah masyarakat bermula daripada perubahan individu. Firman Allah SWT yang bermaksud, “… sesungguhnya Allah tidak mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri… .” (Surah al-Ra‘d 13:11)

Peranan Agama dalam Kehidupan

Dalam Islam, kita diajar untuk mengawal diri serta memelihara hubungan sesama insan. Namun begitu, tatkala kita semakin jauh daripada ajaran agama, tingkah laku kita kian pudar daripada pedoman dan nilai murni. Hal ini wajar menjadi renungan buat kita. Apakah sikap sedemikian yang kita akan wariskan kepada generasi masa hadapan?

Setiap manusia dilahirkan fitrah yang suci dan menerima Islam sebagai petunjuk hidup pada asalnya. Untuk mencerminkan kesucian hati tersebut, perlakuan kita mestilah berpaksikan pada nilai agama yang dianuti.

Ajaran Islam merupakan sebuah panduan hidup yang menyeluruh, mengatur setiap aspek kehidupan kita. Pada masa yang sama, kita dituntut untuk meneladani akhlak dan sunah Rasulullah SAW dalam setiap tindakan. Baginda merupakan uswatun hasanah dalam perilaku, tutur kata dan interaksi sesama manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik… .” (Surah al-Ahzab 33:21).

Pengawalan Amarah: Kunci Membentuk Peribadi Mulia

Pengawalan amarah memainkan peranan yang besar dalam pembentukan tingkah laku manusia. Amarah yang tidak dikawal mampu menjadi punca segala kerosakan, baik dalam hubungan sesama manusia mahupun dalam kehidupan rohani. Betapa pentingnya untuk kita belajar mengawal emosi. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Orang yang kuat bukanlah orang yang menewaskan lawannya, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6114). Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan untuk menahan kemarahan.

  • Diam

Pengawalan amarah melibatkan kesedaran diri untuk mengatasi perasaan negatif sebelum perkara tersebut menguasai fikiran dan tindakan. Perbuatan diam mampu merasionalkan pemikiran serta mengembalikan kewarasan sebelum melakukan sesuatu tindakan. Daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Sampaikanlah pesan kepadaku.” Baginda menjawab: “Jangan marah.” Kemudian lelaki tersebut mengulangi perkataannya. Nabi SAW tetap berkata: “Jangan marah.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6116).

Secara fitrah, kemarahan memberikan kesan biologi kepada tubuh manusia seperti peningkatan tekanan darah, degupan jantung yang cepat serta ketegangan otot. Jika tidak dikawal dengan baik, emosi ini berisiko mengundang penyakit berbahaya seperti strok, sakit jantung atau angin ahmar.

Hakikatnya, tiada seorang pun yang terlepas daripada perasaan marah. Walau bagaimanapun, emosi ini perlu diarahkan dengan betul dan diluahkan dalam perkara yang sepatutnya. Kata yang terucap ketika marah boleh melukai perasaan orang lain dan mendatangkan mudarat kepada diri sendiri. Dalam keadaan sebegini, tindakan berdiam diri merupakan pilihan terbaik dan memberikan ruang untuk menyusun kata, menilai tindakan serta membetulkan keadaan dengan bijaksana dan rasional.

Tindakan mengambil masa untuk merenung sejenak merupakan bentuk terapi yang berkesan untuk menenangkan diri. Amalan istighfar dan ta‘awuz menjadi langkah rohani yang dianjurkan bagi menenangkan jiwa. Allah SWT turut mengungkapkan dalam Surah Ali ‘Imran ayat 133 hingga ayat 134 bahawa sikap menahan marah merupakan sebahagian daripada sifat orang yang bertakwa. Sikap ini menjadi kunci keharmonian masyarakat, membina hubungan kasih sayang dan saling menghormati, serta memastikan kita sentiasa berada pada landasan Islam yang benar.

  • Wuduk dan Mandi: Terapi Diri untuk Menenangkan Jiwa

Dalam Islam, air berfungsi sebagai medium penyucian dan penenang jiwa. Sebagai contoh, wuduk bukan sekadar tindakan ritual bersuci, tetapi memberikan ketenangan kepada hati yang gelisah. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan dicipta daripada api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka itu, jika seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Daud, no. 4784).

Secara fisiologi, air membantu menyejukkan suhu tubuh yang meningkat akibat marah. Ketika kita berasa marah, tubuh menghasilkan adrenalina yang menyebabkan peningkatan tekanan darah, menimbulkan rasa panas atau ketegangan pada fizikal tubuh.

Selain itu, mandi pula berfungsi sebagai terapi diri yang merangsang deria sentuhan dan merelakskan otot yang tegang. Oleh itu, kaedah ini memberikan kesejahteraan mental, membantu seseorang untuk kembali tenang dan rasional ketika menghadapi situasi yang mencabar.

  • Kembali kepada Kehidupan Beragama

Bagi setiap individu Muslim, terdapat dua perkara utama yang tidak boleh dipertikaikan, iaitu al-Quran dan sunah. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Al-Quran ini menjadi panduan yang membuka mata hati manusia, dan menjadi petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).” (Surah al-Jathiyah 45:20). Rasulullah SAW turut mengingatkan menerusi sabdanya yang bermaksud, “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunah nabi-Nya (Rasulullah SAW).” (Hadis riwayat Malik).

Kehidupan dunia yang sementara ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Walaupun matlamat setiap individu berbeza-beza, tujuan utama hidup seorang Muslim adalah untuk mencapai kejayaan di akhirat. Ujian kehidupan di dunia menjadi ukuran ketakwaan dan keimanan. Alangkah malangnya jika seorang Muslim terpedaya dengan godaan dunia, hasutan nafsu dan perangkap syaitan.

Peristiwa yang berlaku sepanjang tahun ini amat mendukacitakan. Peringatan dan amaran keras telah diberikan oleh Allah SWT dan rasul-Nya, namun masih ada yang tersesat. Kita bakal dipertanggungjawabkan terhadap setiap perbuatan yang dilakukan. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya.” (Surah al-Muddaththir 74:38).

Masih belum terlambat untuk kita berubah menjadi lebih baik. Langkah pertama yang perlu diambil adalah dengan memperbaik diri dan mengamalkan sifat mahmudah, terutamanya dalam usaha mengawal kemarahan. Banyak tragedi berlaku berpunca akibat kegagalan mengendalikan emosi. Tindakan yang dipengaruhi oleh kemarahan sering kali membawa kepada perbuatan yang tidak wajar, dan keretakan hubungan dengan saudara seagama. Ambillah pengajaran daripada kisah Habil dan Qabil bahawa kemarahan dan iri hati pada akhirnya mengakibatkan pertumpahan darah yang penuh penyesalan. Pengajarannya mengingatkan kita betapa bahayanya sifat marah yang tidak terkawal dan pentingnya menahan diri daripada tindakan yang tidak diingini.

Pada akhirnya, setiap perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Tiada siapa yang dapat membantu kita, termasuk syaitan dan iblis. Mereka hanya akan menjadi saksi atas kesalahan yang kita lakukan tanpa memberikan pertolongan sedikit pun. Adapun kita akan menyalahkan syaitan dan iblis akibat perbuatan kita di dunia yang cenderung kepada noda dan dosa. Hal ini jelas digambarkan dalam dialog iblis yang dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu, ‘Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku… .’” (Surah Ibrahim 14:22)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa syaitan yang menggoda dan menyesatkan manusia selama ini, pada akhirnya tidak akan dapat menyelamatkan kita melainkan amal kebaikan yang kita lakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT. Malah, iblis akan menyalahkan manusia atas pilihan mereka. Di dunia ini, kita diberikan pilihan dan kita bertanggungjawab penuh atas pilihan tersebut.

Tahun 2025 sewajarnya menjadi titik refleksi kendiri. Kita kadang-kadang terlupa akan nilai yang menjadi asas kehidupan. Akhlak mulia dan pengawalan diri, khususnya amarah sering diabaikan. Jika kita merenung sejenak, kita akan sedar bahawa setiap tindakan baik atau tindakan buruk, pasti ada akibatnya. Kes jenayah yang berlaku pada tahun ini menjadi inti pati buat kita untuk dijadikan sebagai pedoman dan pengajaran.

Kita ketika ini berada di persimpangan. Kita boleh memilih untuk terus terjebak dalam kancah kitaran kebencian dan kemarahan atau berubah dengan mengawal diri dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Waima, perubahan itu bermula dari dalam diri kita. Menjadi insan yang berakhlak mulia merupakan tanggungjawab bersama agar cahaya Islam dapat dibawa ke serata dunia, sekali gus menjadi cerminan kebaikan buat generasi yang akan datang.

Kasih sayang Allah SWT tiada batasnya. Kehadirannya umpama penawar bagi jiwa yang gundah, mengubati hati yang terluka serta menjadi senyuman tatkala diuji dengan musibah. Setiap ujian yang datang ialah tanda kasih-Nya, mengingatkan kita agar terus bersabar dan bertawakal kepada-Nya.


Encik Mohammad Nasrul Hakim Roslan merupakan seorang pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA Kampus Raub. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Ekonomi Islam, Sains Sosial dan Kerja Sosial.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi