Diterbitkan pada 24 Februari 2025, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Imam Besar Masjidilaqsa, Sheikh Dr. Ekrima Said Sabri bakal hadir menyampaikan tausiyah dalam Majlis Ilmu MADANI  yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada petang ini di Masjid Putra, Putrajaya.

Majlis tersebut dianjurkan dengan kerjasama sebanyak 13 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta sokongan rakan strategik daripada pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Malaysia berbesar hati menerima kehadiran Sheikh Dr. Ekrima Said Sabri yang akan menyampaikan tausiyah berkaitan dengan kedudukan istimewa al-Quds dan al-Aqsa serta simbol perjuangan umat Islam pada hari ini.

Majlis ini akan diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Menurut YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin, Sheikh Dr. Ekrima Said Sabri merupakan seorang ulama terkemuka yang juga mantan Mufti Besar Baitulmuqaddis serta menjadi simbol keteguhan perjuangan kesucian Masjidilaqsa.

“Beliau lantang memperjuangkan hak umat Islam dan mempertahankan tanah suci daripada cengkaman penindasan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sesungguhnya kehadiran beliau ke Malaysia membawa amanah besar sebagai sebuah peringatan tentang perjuangan Palestin dan kepentingan Masjidilaqsa dalam jiwa setiap Muslim.

YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin menjelaskan, “Penganjuran majlis ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh perpaduan dan kesatuan ummah melalui solidariti berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin.”

“Inisiatif ini juga merupakan kesinambungan komitmen kerajaan menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat, di samping meningkatkan kefahaman serta penghayatan Islam, sejajar dengan lima agenda di bawah tema ‘Islam Mekar di Bumi Malaysia’,” kata beliau.

Oleh itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya yang berada di sekitar Putrajaya dan Lembah Klang agar hadir ke Majlis Ilmu MADANI bagi memeriahkan majlis, menimba ilmu yang bermanfaat, menyuburkan nilai Islam dalam jiwa masyarakat, membina ummah yang kukuh, serta memastikan nur al-Quran terus menerangi setiap langkah kehidupan harian.

Kredit Foto: JAKIM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi