Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPasir Mas – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah mengagihkan sebanyak lebih daripada RM2.84 juta untuk Bantuan Awal Persekolahan MAIK pada tahun 2025 menerusi 21 buah masjid negeri, bandar dan jajahan di seluruh Kelantan.
Bantuan tersebut diagihkan bagi membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.
Tengku Temenggong Kelantan, Yang Berhormat (YB) Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz merangkap Yang Dipertua MAIK bersama-sama Tengku Puan Temenggong, Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, telah mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan kepada sebanyak 200 orang penerima di jajahan Pasir Mas, semalam.
Penyerahan bantuan tersebut diadakan di Masjid Al-Taqwa Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, yang turut dihadiri oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK, Yang Berbahagia (YBhg), Dato’ Haji Mohd Anis Hussein; Pengerusi Masjid Al-Taqwa Mukim Bunut Susu, Yang Berusaha (YBrs.) Dato’ Mohd Faudzi Che Mamat; dan Setiausaha MAIK, YBrs. Tuan Haji Muhamad Rasani Ramli.

Seorang penerima bantuan, ibu kepada tujuh orang anak, iaitu Zaradah Daud yang berusia 51 tahun memberitahu, bantuan yang diterima amat membantu kehidupannya terutamanya bagi menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak.
Katanya, dua orang anaknya yang masih bersekolah, iaitu pada peringkat tahun enam dan tingkatan enam atas memerlukan perbelanjaan yang banyak.
Lagipun, menurut Zaradah, suaminya menghidap penyakit kencing manis dan hanya bekerja kampung dengan melakukan apa-apa sahaja pekerjaan demi kelangsungan hidup keluarga.
Zaradah mengucapkan terima kasih kepada MAIK dan juga pembayar zakat yang telah membantu keluarga mereka.