Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 16 Februari 2025, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Batu Bertangkup – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menyumbang bantuan persekolahan berjumlah RM9,065,700 pada tahun ini kepada 12,951 orang pelajar terpilih di negeri tersebut.

Jumlah pelajar berkenaan terdiri daripada 5,073 orang pelajar sekolah menengah, 38 orang pelajar sekolah menengah agama rakyat, 7,802 orang pelajar sekolah rendah dan 38 orang pelajar sekolah rendah agama rakyat yang masing-masing menerima bantuan sebanyak RM700.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah,

Bantuan ini bukan sekadar untuk memenuhi keperluan material tetapi juga sebagai “simbol” sokongan kita semua kepada usaha pelajar untuk mencapai kejayaan yang berpanjangan khususnya menjelang musim persekolahan baharu yang akan bermula secara rasmi pada Isnin ini.

Menurut baginda, pendidikan merupakan asas utama kepada pembangunan diri, agama, bangsa, negeri dan juga negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyampaikan titahnya dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs di Masjid Al-Husna.

“Dalam era serba mencabar ini, generasi muda memerlukan bimbingan, motivasi serta sokongan untuk terus melangkah maju ke hadapan,” titah baginda ketika berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs di Masjid Al-Husna.

Pada masa yang sama, baginda selaku Yang Dipertua MAIPs bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan untuk menyampaikan sumbangan MAIPs sebanyak RM210,000 kepada 300 orang anak kariah daripada Batu Bertangkup, FELDA Chuping, Bukit Keteri dan Kok Klang.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah ketika menyampaikan sumbangan kepada asnaf yang terpilih.

Penerima sumbangan tersebut merupakan asnaf terpilih yang menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang bertujuan untuk meringankan beban mereka dan memenuhi keperluan harian.

Selain itu, antara pengisian lain yang dijalankan dalam program tersebut termasuklah  pemeriksaan kesihatan percuma daripada Jabatan Kesihatan Negeri, ceramah kesedaran oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan perkongsian inspirasi menerusi ceramah yang bertajuk “Bangun Jiwa Asnaf” anjuran MAIPs.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi