Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee meminta semua pihak agar tidak mempolemikkan Majlis Jalinan Muhibah Madani sempena Tahun Baharu Cina 2025 yang akan diadakan esok.
Tambah beliau, program ini dianjurkan oleh JAKIM pada setiap tahun untuk menyantuni masyarakat yang menyambut Tahun Baharu Cina.
Penganjuran majlis berkenaan adalah sebahagian daripada peranan yang dimainkan oleh agensi hal ehwal Islam untuk menyebarkan kasih sayang dan mesej keharmonian kepada masyarakat.
Semua pihak dimohon untuk tidak mempolemikkan isu ini sehingga boleh menjejaskan usaha untuk memupuk perpaduan.
Di samping itu, beliau menyeru orang ramai supaya saling memberikan sokongan dalam usaha memperkukuh keharmonian negara.
Majlis Jalinan Muhibah Madani sempena Tahun Baharu Cina merupakan program anjuran JAKIM dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) Islam. Majlis yang akan berlangsung di Dewan Hokkien, Klang bertujuan untuk memperkukuh ikatan perpaduan dan silaturahim masyarakat majmuk di negara ini.
Antara pihak yang terlibat termasuklah Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Hidayah Centre Foundation (HCF) dan pihak berkuasa agama Islam negeri, iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).