Diterbitkan pada 8 Februari 2025, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan bakal haji rakyat Malaysia yang memperoleh Visa Furada atau Visa Mujamalah menggunakan perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang telah dilesenkan oleh TH bagi mengelakkan penipuan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, sebanyak 37 syarikat PJH yang dilesenkan oleh TH memiliki Lesen Pengendali Pelancongan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Syarikat ini mempunyai kewangan yang teguh, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi serta komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia.

Beliau berkata, TH sentiasa memantau semua PJH bermula daripada peringkat perancangan sehingga pelaksanaan untuk memastikan semua jemaah haji mendapatkan perkhidmatan terbaik dan mengelakkan sebarang penipuan.

Syed Hamadah turut menyatakan pemberian visa Furada dan Mujamalah yang dikeluarkan kepada kumpulan tertentu merupakan hak mutlak Kerajaan Arab Saudi dan perkara tersebut di luar kuota haji rasmi negara. Kerajaan Arab Saudi giat memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan prosedur musim haji bagi memastikan kelancaran proses ibadat dan keselamatan jemaah haji yang datang dari seluruh dunia.

“Kerajaan Arab Saudi juga akan melaksanakan kawalan keselamatan yang lebih ketat semasa kemuncak haji dengan sistem pengesahan jemaah haji yang lebih efisien bagi memeriksa setiap jemaah yang masuk ke kawasan Masyair. Sebarang penggunaan visa yang tidak sah akan dikenakan tindakan undang-undang dan denda yang berat,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) semalam melaporkan terdapat sejumlah 44 kes penipuan haji dan umrah telah disiasat sepanjang tahun 2024 yang melibatkan kerugian berjumlah RM890,810.53. PDRM turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan yang ingin mengaut keuntungan.

“TH menyokong penuh saranan PDRM agar berwaspada dengan penipuan haji. Setiap kali tibanya musim haji, akan muncul segelintir pihak yang cuba membuat pelbagai tawaran visa dan pakej haji di luar kuota haji negara,” tambah beliau.

Mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi