Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 6 Februari 2025, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan bantuan wang zakat kepada Adik Zeeya atau nama sebenarnya, Nik Zeeya Fateema Nik Muhamad Fahmi yang menghidapi penyakit jantung untuk mendapatkan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN).

MAIK menerusi hantaran dalam laman Facebooknya semalam memaklumkan bahawa pihaknya menyampaikan bantuan kewangan segera kepada kanak-kanak berkenaan sebanyak RM3,000 dan bersedia membiayai kos keseluruhan pembedahannya di IJN yang berjumlah sebanyak hampir RM60 ribu.

Beliau yang ditemani oleh ibunya, Wan Zulaikha Wan Salleh, diterbangkan dari Pengkalan Chepa dengan menggunakan pesawat bomba pada petang semalam dan mendarat di padang Hospital Kuala Lumpur, sebelum dihantar ke IJN.

Selain itu, beliau yang turut diiringi oleh pegawai perubatan, Dr. Nik Nur Shahirah Ezani dan seorang jururawat, dijangka menjalani pembedahan jantung di IJN pada hari ini, tertakluk pada keadaan kesihatannya.

Keadaan Adik Zeeya semasa diterbangkan dari Pengkalan Chepa sebelum mendarat di Padang Hospital Kuala Lumpur.

Menurut ibunya, anak bongsu daripada tiga adik-beradik tersebut telah menjalani pembedahan salur jantungnya di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada Isnin lalu, tetapi keadaannya masih kritikal.

Kanak-kanak berusia satu tahun enam bulan itu mengalami masalah saluran jantung yang sempit sejak lahir, dan akan ditidurkan selama 10 hari setelah prosedur pembedahan tersebut dilakukan.

Beliau juga perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Tanah Merah dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian bagi memantau keadaan kesihatannya dari semasa ke semasa.

Di samping itu, MAIK menzahirkan penghargaan kepada semua pembayar zakat yang telah membantu golongan yang memerlukan selama ini khususnya dalam usaha melancarkan urusan rawatan kanak-kanak tersebut untuk pulih seperti sediakala.

Kredit Foto: Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi