Diterbitkan pada 31 Januari 2025, 14:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 6:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini disebabkan oleh kejahilan kamu (mengenainya) sehingga pada akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu!”

Fitnah bermaksud tuduhan jahat yang disebarkan secara lisan atau tulisan, yang bertujuan untuk memburuk-burukkan seseorang atau sesuatu pihak. Perbuatan menyebarkan dusta berunsur fitnah, jelas hukumnya haram berpandukan firman Allah SWT dalam Surah al-Jathiyah ayat 7 yang bermaksud, “Dan celakalah bagi setiap pendusta yang banyak berdosa.”

Kehadiran 1 Syaaban 1446 pada hari ini mengajak kita menelusuri kisah yang berlaku dalam bulan Syaaban pada tahun keenam Hijrah. Peristiwa tersebut terkandung dalam sebuah hadis yang mencatatkan peristiwa al-Ifki (peristiwa pembohongan), iaitu peristiwa yang memberikan pelbagai pengajaran akan keburukan fitnah serta cara menghadapinya berpandukan ajaran Islam.

Peristiwa Hadis al-Ifki merujuk fitnah yang dilemparkan terhadap isteri Rasulullah SAW, Sayidatina Aisyah r.a. yang berlaku semasa perjalanan pulang Baginda dan para sahabat daripada Perang Bani Mustaliq. Semasa perjalanan tersebut, Sayidatina Aisyah r.a. tertinggal di belakang dan ditemukan oleh sahabat bernama Safwan bin Mu‘attal r.a. Beliau telah mengambil tanggungjawab mengiringi Sayidatina Aisyah r.a. untuk membawanya ke hadapan agar dapat menyertai semula ahli rombongan yang lain. Namun begitu, golongan munafik yang dipimpin oleh Abdullah bin Ubai menyebarkan fitnah dengan menuduh Sayidatina Aisyah r.a. berzina dengan Safwan bin Mu‘attal r.a.

Fitnah tersebut telah menggugat suasana harmoni masyarakat Madinah. Terdapat dalam kalangan para sahabat yang mempercayai fitnah tersebut, malah turut menyebarkannya. Berlaku suasana gelisah dan tidak harmoni susulan fitnah yang disebarkan yang berlarutan hampir sebulan lamanya, sehingga mengakibatkan Rasulullah SAW berasa tidak tenteram.

Ketika menghadapi ujian tersebut, Rasulullah SAW melakukan siasatan untuk mendapatkan kebenaran. Baginda merujuk para sahabat, menyoal Sayidatina Aisyah r.a., di samping memohon petunjuk daripada Allah SWT. Pada akhirnya, persoalan terjawab dan fitnah terungkai apabila Allah SWT menurunkan wahyu melalui Surah al-Nur ayat 11, sekali gus membersihkan maruah Sayidatina Aisyah r.a. dan nama baik Safwan bin Mu‘attal r.a. Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang membawa berita dusta itu adalah dalam kalangan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang daripada mereka akan mendapat balasan daripada dosa yang dilakukannya. Dan sesiapa antara mereka yang mengambil bahagian terbesar dalam menyebarkannya antara mereka, dia mendapat azab yang besar (di dunia dan di akhirat).” (Surah al-Nur 24:11).

Terdapat beberapa pengajaran yang diperoleh daripada peristiwa al-Ifki:

  • Pertama: Keburukan Fitnah

Perbuatan memfitnah dicatat sebagai dosa besar. Fitnah boleh menjejaskan maruah, mengakibatkan berlaku perselisihan faham antara suami dengan isteri, dan juga boleh menjejaskan hubungan sesama ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan sekerja. Fitnah boleh menyebabkan ummah bertambah keliru, bertelagah, bermusuh dan berpecah belah. Fitnah juga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, di samping membantutkan usaha untuk memajukan rakyat dan membangunkan negara.

  • Kedua: Menyelidiki Maklumat yang Diterima

Islam mengajar kita untuk terlebih dahulu memeriksa sesuatu berita sebelum mempercayai, dan jangan pula secara gopoh turut berperanan menyebarkannya, agar kita terlindung daripada terlibat melakukan dosa besar dalam rantaian penyebaran fitnah.

  • Ketiga: Bersabar dan Bertawakal Ketika Menghadapi Fitnah

Rasulullah SAW dan Sayidatina Aisyah r.a. mempamerkan sifat kesabaran yang tinggi ketika menghadapi ujian difitnah, serta menyerahkan diri dan yakin kepada pertolongan dan keadilan Ilahi.

  • Keempat: Mengutamakan Perpaduan dan Keharmonian

Perpaduan dan keharmonian kurniaan Ilahi tidak seharusnya dijejaskan melalui perbuatan fitnah memfitnah dan kerja menyebar berita palsu. Ummah harus bijak mengenal pasti dan menapis setiap berita yang disampaikan, dengan mengutamakan ukhuwah islamiah dalam semangat perpaduan dan kerukunan bernegara.

  • Kelima: Balasan bagi Penyebar Fitnah

Allah SWT menetapkan azab yang berat kepada orang yang terlibat mencetuskan fitnah, dan juga kepada orang yang bersubahat menyebarkan fitnah. Oleh itu, hendaklah berhati-hati terhadap apa-apa yang kita ucapkan dan sebarkan dengan mengambil ingatan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (Hadis riwayat al-Bukhari).

 

Mutakhir ini, fitnah, berita palsu dan penipuan berlaku secara berleluasa dalam kalangan umat Islam. Terdapat pihak yang mengamalkan tabiat mencetuskan fitnah tanpa bukti kukuh, dan terdapat pula pihak yang begitu dangkal mudah mempercayai berita tanpa menyelidiki kebenarannya, malah turut terlibat meluaskan sebarannya. Rasulullah SAW telah memperingatkan ummah agar berhati-hati sebelum bercakap tentang perkara yang tidak diketahui kebenarannya. Sabda Rasulullah SAW,

Maksudnya: “Seseorang hamba apabila dia bercakap tentang perkara tanpa diselidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, umat Islam perlu menjauhkan diri daripada perbuatan mencetuskan fitnah dan menyebarkan fitnah kerana perbuatan tersebut merupakan dosa besar yang akan menerima azab yang keras daripada Allah SWT. Fitnah boleh mengundang pelbagai kesan buruk sehingga menyebabkan seseorang menjadi buta dalam menilai kebenaran. Perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT apabila menghadapi ujian difitnah, di samping berhati-hati dalam setiap tindakan agar tidak terlibat menjadi pihak yang menyambung rantaian fitnah.


Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 31 Januari 2025, bertajuk “Keburukan Firnah: Pengajaran daripada Peristiwa al-Ifki”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi