Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 31 Januari 2025, 09:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan sokongan kerjasama 13 buah agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) mengalu-alukan kehadiran orang ramai dalam Program Zikir Akbar Madani sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025.

Program tersebut bakal berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada petang ini, bermula pada pukul 6.00 petang hingga 10.30 malam dan dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Dr. Zaliha Mustafa.

Antara pengisian program yang diadakan termasuklah solat hajat, bacaan Surah Yasin, bacaan selawat, doa selamat untuk kesejahteraan Malaysia serta penyampaian amanat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai acara kemuncak bagi program tersebut.

Selain itu, program berkenaan turut menampilkan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Profesor Madya Dr. Luqman Haji Abdullah dan Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam, Profesor Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin Abdul Mukti dalam pengisian tausiyah khas berkaitan dengan nilai perpaduan dan kesejahteraan.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, penganjuran Program Zikir Akbar Madani amat signifikan kerana program tersebut bukan sahaja menyuburkan amalan keagamaan, tetapi menjadi wadah untuk menyatukan umat Islam dalam usaha menghayati nilai spiritual.

Program yang berorientasikan rakyat dirancang dan dilaksanakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 sememangnya memberikan manfaat dan merangsang seluruh warga Wilayah Persekutuan seiringan dengan konsep Malaysia MADANI, sekali gus memajukan Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan bersama.

“Penganjuran program tersebut sejajar dengan agenda tahun 2025, agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang berfokuskan gerak kerja yang berpandukan tema ‘Islam Mekar di Bumi Malaysia’ ke arah meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam melalui semarak majlis ilmu,” ujar beliau dalam kenyataannya pada Selasa lalu.

Di samping itu,  beliau menzahirkan harapan agar penganjuran program tersebut yang menggabungkan elemen keagamaan dan kecintaan terhadap Wilayah Persekutuan, mampu menyuntik semangat kepada masyarakat khususnya warga Wilayah Persekutuan untuk memelihara keharmonian dan kemajuannya, sambil menghayati keberkatan bulan Syaaban.

Kredit Foto: JAKIM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi