Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Kerajaan Perak tidak menghalang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk meneruskan kajian peluasan larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Muslim seperti yang telah dilaksanakan di Gugusan Manjoi sebelum ini.
Menurut Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam kenyataannya hari ini, kajian tersebut mengikut bidang kuasa MBI yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 selain pematuhan peraturan minuman beralkohol/peraturan-peraturan makanan 1985 dan Akta Makanan 1983.
Kajian yang dilaksanakan akan mengambil kira pelbagai aspek termasuklah data demografi serta meneliti secara terperinci penetapan zon bagi pelaksanaan cadangan tersebut berdasarkan Kelas Guna Tanah (KGT) yang digariskan dalam Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (RTBI) 2035.
Ujar beliau, pihaknya telah mendapatkan maklum balas daripada MBI yang menjelaskan bahawa cadangan tersebut sedang berada pada peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri.
Selain itu, beliau berkata, MBI perlu melakukan kajian secara menyeluruh supaya cadangan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada usaha memelihara kemaslahatan umat Islam, tetapi mengambil kira keperluan mewujudkan peraturan yang dapat menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
“Kerajaan negeri menegaskan bahawa sebarang ketetapan yang dibuat hendaklah bersifat inklusif dengan mengambil kira maklum balas masyarakat, mencerminkan kehendak sebenar penduduk setempat dan mestilah selari dengan panduan undang-undang yang sedia ada,” jelasnya.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri mengambil berat polemik yang timbul termasuk dalam kalangan parti politik susulan cadangan tersebut.
Tegas beliau, perbalahan dan pertikaian tidak sepatutnya timbul pada peringkat ini kerana tindakan tersebut hanya akan mencetuskan ketegangan dan kekeliruan khalayak, sebaliknya semua pihak sewajarnya memberikan ruang sepenuhnya kepada MBI untuk memperhalusi segenap aspek cadangan berkenaan.
Terdahulu, cadangan MBI untuk melaksanakan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di kawasan majoriti penduduk beragama Islam telah mengundang perdebatan dalam kalangan khalayak termasuk pemimpin parti politik.