Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2024 akan dilaksanakan pada 3 Februari hingga 6 Februari 2025 serta 10, 12 dan 13 Februari 2025.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan media pada hari ini menyatakan bahawa sebanyak 4507 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM Tahun 2024 di 132 buah pusat peperiksaan seluruh negara.
Sementara itu, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, sebanyak 926 orang petugas peperiksaan telah dilantik.
“Semua calon peperiksaan STAM Tahun 2024 perlu merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.”
Jadual waktu peperiksaan STAM Tahun 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.
KPM turut mengingatkan semua calon agar membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM Tahun 2024.
“KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan STAM Tahun 2024 berlangsung.”
Oleh itu, KPM sentiasa bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuklah bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
Pada masa yang sama, calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.
KPM juga menyatakan bahawa pihaknya sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan STAM Tahun 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.