Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 19 Januari 2025, 16:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dalam media sosial berkaitan dengan pihaknya menzalimi bakal haji menerusi tawaran haji pada tahun ini.

TH memandang serius tuduhan-tuduhan tidak benar yang memburukkan reputasinya dan menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam, selain tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihaknya semalam, tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana TH telah menerima dan mengklasifikasikan semula lebih 700 orang individu di bawah kategori M40 seperti suri rumah, pelajar dan warga emas kepada kategori B40.

Pihaknya berkata proses pengkategorian tersebut dilaksanakan setelah menerima rayuan berserta bukti mereka adalah daripada golongan tersebut.

Tambahnya lagi, pihak TH telah dan masih menerima permohonan rayuan untuk menukar kategori tawaran haji.

Di samping itu, tegas pihaknya, bakal jemaah yang menerima sumbangan program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) termasuk dalam kategori B40 manakala mereka yang mempunyai pendapatan individu melebihi RM15,000 sebulan termasuk dalam kategori T20.

Oleh itu, pihak TH menjelaskan bahawa bakal jemaah yang tidak termasuk dalam kategori B40 dan T20 diklasifikasikan sebagai golongan yang berada di bawah kategori M40.

“Sejak tahun 2022, TH membuat semakan silang tentang maklumat bakal haji dengan agensi-agensi kerajaan bagi menentukan kategori bakal jemaah B40, M40 dan T20,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi