Diterbitkan pada 17 Januari 2025, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan Malaysia telah menandatangani Memorandum Urusan Haji bersama-sama pihak Kerajaan Arab Saudi bagi memperkukuh lagi kerjasama strategik kedua-dua pihak terutamanya dalam pengurusan haji pada musim 1446H/2025M.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, memorandum ini menjadi bukti komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) dalam usaha menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada para bakal duyuf al-rahman khusus untuk musim haji pada kali ini.

“Alhamdulillah, dalam kunjungan rasmi saya ini, kita dapat menjalinkan satu pemeteraian secara rasmi bagi mengukuhkan lagi hubungan akrab yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dengan Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh TH.

Tambah beliau, hal yang demikian merupakan satu daripada usaha berterusan kerajaan dan TH dalam usaha menambah baik pengurusan jemaah haji negara secara keseluruhan serta membuka peluang untuk peningkatan kualiti perkhidmatan TH di tanah suci melalui kerjasama beberapa pihak di Arab Saudi.

TH berkata, memorandum yang dimeterai ini melibatkan beberapa persetujuan, antaranya termasuklah jumlah kuota haji rasmi negara sebanyak 31 600 orang bagi musim haji 1446H/2025M.

Selain itu, jelasnya, Malaysia juga menyatakan persetujuan untuk mematuhi garis panduan daripada Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi berkaitan dengan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah.

Tambahnya, Malaysia juga akan menyelesaikan kesemua kontrak bersama-sama pelbagai pihak di Arab Saudi lebih awal bagi memudahkan pengurusan jemaah haji di tanah suci.

Menurut TH, memorandum berkenaan telah ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mewakili Kerajaan Malaysia dan pihak Kerajaan Arab Saudi diwakili oleh Menteri Haji dan Umrah, Tuan Yang Terutama (TYT) Dr. Tawfig Fawzan Al-Rabiah.

“Dalam kunjungan hormat YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im bersama-sama TYT Dr. Tawfig itu juga, Malaysia telah memohon kuota haji tambahan sebanyak 10 000 orang dan perkara ini akan dipertimbangan dengan sewajarnya oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi,” katanya.

TH memaklumkan pertemuan rasmi ini diadakan bersempena dengan acara tahunan Simposium dan Pameran Haji 1446H anjuran Kerajaan Arab Saudi yang diadakan bermula pada 13 Januari hingga 16 Januari 2025, bertempat di Superdome, Jeddah

Katanya, simposium ini mengumpulkan pengendali operasi haji dan umrah dari serata negara dan turut menjadi platform perkongsian aspirasi pengurusan haji oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.

Menurut TH, delegasi Malaysia turut diwakili oleh Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman serta barisan pengurusan kanan TH.

Katanya, para delegasi turut berkesempatan untuk berjumpa dengan beberapa wakil pengendali dan pejabat urusan haji dari beberapa buah negara bagi bertukar-tukar pandangan serta perkongsian ilmu dalam usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan pengurusan haji negara.

Kredit Foto: Tabung Haji
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi