Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 16 Januari 2025, 23:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menetapkan lima teras hala tuju dan enam objektif utama sebagai agenda dalam pembinaan Indeks Prestasi Utama (KPI) belanjawan pada tahun ini.

Pengerusi MAIS, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika berucap dalam Majlis Perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2025 di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam pada Selasa lalu menjelaskan bahawa hala tuju bagi tahun ini memberikan tumpuan kepada beberapa teras utama, iaitu akidah, pendidikan, dakwah dan keluarga, masjid, surau dan pembangunan umat, tadbir urus dan kecemerlangan organisasi, kebajikan dan ekonomi umat, perundangan dan kehakiman syariah serta pengukuhan kutipan zakat, wakaf dan mal.

Menurut beliau, hala tuju tersebut akan dimuktamadkan dalam mesyuarat MAIS pada hujung bulan ini sebelum dipersembahkan untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa MAIS, agensi dan anak syarikat menekankan lima objektif sebagai agenda dalam pembinaan KPI belanjawan pada tahun ini, iaitu pengukuhan akidah, pemerkasaan ekonomi, penyampaian perkhidmatan yang responsif dan dinamik, komunikasi dakwah yang berkesan dan kesejahteraan sosial umat.

“Lima objektif utama ini disokong oleh 12 strategik yang merupakan faktor penting dalam usaha membangunkan ekonomi dan sosial umat di negeri Selangor,” katanya.

“Hala tuju pada tahun ini juga adalah untuk menyokong gerak kerja pentadbiran agama Islam yang terdiri daripada 40 pelan tindakan utama yang telah dirancang untuk dilaksanakan di bawah 12 strategi yang telah diluluskan,” ujarnya lagi.

Beliau mengulas lanjut bahawa semua pihak perlu sentiasa peka dan bertindak dengan serius terhadap titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkaitan dengan hal ehwal agama, sosial dan ekonomi umat khasnya di Selangor.

Titah berkaitan dengan isu penyebaran fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, pengurusan dan pengauditan masjid dan surau, serta pentauliahan penceramah perlu diambil perhatian yang serius supaya dapat diselesaikan dengan sempurna jika terdapat masalah.

Tambah beliau, data dan statistik yang berkaitan dengan bilangan ajaran sesat yang masih aktif, gejala sosial dan jenayah syariah serta penceraian pasangan Islam di negeri ini perlu diberi perhatian yang serius.

“Usaha perlu digembleng oleh semua pihak tidak kira agensi di bawah pentadbiran Islam, mahupun pihak luar bagi memastikan syiar Islam dapat dimartabatkan,” tegasnya.

Di samping itu, beliau turut menyentuh isu kapasiti sekolah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang tidak mencukupi untuk anak negeri Selangor, pemutihan sekolah tahfiz, bilangan muzakki (pemberi zakat) dan pewakaf masih lagi belum mencapai tahap yang memuaskan berbanding dengan populasi di negeri tersebut.

Isu dan cabaran ini perlu diselesaikan dengan sebaik-baiknya untuk memastikan imej dan reputasi kita tidak terjejas.

Jelas beliau lagi, MAIS bersama-sama institusi di bawah pentadbiran agama Islam negeri Selangor telah membangunkan hala tuju kelestarian hal ehwal Islam Selangor mulai tahun 2024 bagi meneruskan aspirasi dan mandat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Pembentukan hala tuju baharu tersebut mengambil kira agenda dan inisiatif Pelan Strategik MAIS 2020 – 2024 yang ditambah baik dan menggabungkan inisiatif baharu untuk mendepani mehnah yang semakin mencabar dalam usaha membangunkan sosioekonomi umat Islam negeri ini.

Teruskan iltizam dan keazaman untuk meningkatkan produktiviti kerja ke arah lebih baik terutama dalam aspek tadbir urus, kompetensi, disiplin, menepati masa, kesegeraan dalam tindakan dan sebagainya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar terus menyumbangkan pandangan yang bernas, selain bermuhasabah untuk menilai kelemahan dan kekuatan organisasi agar perjalanan pada tahun ini kekal berada pada landasan yang tepat dan cemerlang.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Sahibus Samahah Mufti Selangor, YBhg. Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir; Pengarah JAIS, YBhg. Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad; pengurusan tertinggi MAIS dan pegawai kanan agensi dan jabatan di bawah naungan MAIS.

Kredit Foto: Facebook MAIS
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi