Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi hantarannya dalam laman Facebook, semalam memaklumkan bahawa Terengganu kekal komited menjunjung amanah pelaksanaan hukuman syariah.
Menurut beliau, komitmen tersebut merangkumi usaha memastikan segala tindakan selaras dengan syariat Allah dan undang-undang negara.
Beliau menjelaskan,
Hukuman (sebatan syariah) ini bukanlah bertujuan untuk menghukum semata-mata, tetapi sebagai satu bentuk pendidikan, pengajaran dan pencegahan kepada masyarakat agar lebih dekat dengan nilai-nilai Islam.
Tambah beliau lagi, usaha memartabatkan hukuman berkenaan di negeri tersebut dilakukan agar menjadi contoh pelaksanaan syariah yang membawa rahmat kepada seluruh rakyat.
“Alhamdulillah, hari ini kita menyaksikan satu lagi langkah penting dalam usaha melaksanakan hukum syariah di negeri ini,” katanya.
“Pelaksanaan hukuman sebat syariah yang berlangsung di Masjid al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, berjalan lancar dengan penuh tertib dan mematuhi segala prinsip keadilan Islam,” ujarnya lagi.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat untuk menjayakan pelaksanaannya termasuklah mahkamah syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Penjara Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, pihak masjid, pasukan kesihatan dan para pegawai penguat kuasa.
“Kecekapan dan kesungguhan mereka (berjaya) memastikan bahawa proses ini dilaksanakan dengan telus, adil dan penuh hikmah,” tegas beliau.
Terdahulu, Terengganu telah mencipta sejarah baharu apabila melaksanakan hukuman sebatan syariah di hadapan khalayak buat pertama kali pada Jumaat lalu.
Tertuduh, seorang duda berusia 42 tahun didapati bersalah kerana melakukan kesalahan khalwat berulang, menjalani hukuman tersebut pada pukul 2.50 petang yang disaksikan kira-kira 90 orang dan melibatkan sebanyak 40 orang anggota polis.
Hukuman sebatan yang berlangsung selama dua minit itu dilaksanakan oleh seorang pegawai sebat dari Penjara Marang.