Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 31 Disember 2024, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Program Gema Syukur bakal menampilkan kelainan yang istimewa kepada masyarakat dalam usaha mengimarahkan masjid menerusi pelbagai pengisian program yang bermanfaat bersempena dengan ambang Tahun Baharu 2025.

Program tersebut akan berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya selama dua hari, bermula pada hari ini hingga esok, dari pukul 6.00 petang hingga 9.00 pagi.

Program Gema Syukur turut menyerlahkan semangat baharu dan rasa syukur dalam sambutan tahun baharu yang bakal tiba dengan penuh makna.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar menerusi kenyataannya semalam berkata, penganjuran program tersebut ialah iltizam agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk terus memacu umat dalam usaha menyemarakkan syiar Islam di bumi Malaysia.

Ujar beliau, sebanyak lebih daripada 1000 orang mahasiswa dijangka hadir dari pelbagai universiti awam dan swasta di seluruh negara.

“Sebanyak 100 orang asnaf bakal disantuni dan mereka akan menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), bakul makanan serta kit kebersihan sebagai sokongan kepada mereka terus melangkah ke tahun yang baharu,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Di samping itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak lebih 15 pilihan menu sarapan percuma akan disediakan untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat yang hadir ke program berkenaan.

Tambah beliau lagi, pengunjung yang bertuah turut berpeluang menerima hadiah istimewa, iaitu syiling emas yang ditaja khas oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Antara pengisian menarik yang diadakan sepanjang program tersebut berlangsung termasuklah majlis bacaan Surah Yasin dan doa selamat, “​Gema Cinta Rasul” bersama-sama kumpulan nasyid Inteam, tadabur al-Quran, audio siar “Jerat Nafsu”, qiamullail dan forum “Demi Masa”.

Program ini turut menonjolkan penampilan istimewa oleh asatizah tersohor dalam negara seperti Ketua Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, YBrs. Dr. Syed Shahridzan Syed Mohamed; Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim; serta pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau dikenali sebagai PU Riz dan Syeikh Abdul Karim Omar al-Fatani al-Makki bagi memeriahkan lagi pengisian tersebut.

Program Gema Syukur ialah inisiatif strategik agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan dan disokong oleh Masjid Wilayah Persekutuan dan Pusat Pungutan Zakat – MAIWP.

Rakyat Malaysia khususnya yang berada di Putrajaya, Kuala Lumpur dan di sekitarnya dijemput hadir beramai-ramai ke Masjid Putra, Wilayah Persekutuan Putrajaya untuk memeriahkan Program Gema Syukur sempena Tahun Baharu 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi