Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 30 Disember 2024, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setia Alam – Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa penganjuran program Festival Darul Ehsan Berselawat merupakan satu daripada program keagamaan yang akan dilaksanakan secara berterusan pada masa hadapan.

Dalam ucapannya ketika hari terakhir program tersebut pada malam semalam, beliau berkata, program selawat dan zikir akan terus dikembangkan dan dilanjutkan ke seluruh Selangor dalam apa-apa juga keadaan sekalipun.

“Alhamdulillah, cita-cita saya untuk melihat program selawat sudah mula menjadi budaya dan menyerap dalam hati masyarakat dan rakyat Selangor,” katanya.

Sebab itu pada hari ini dan pada masa depan, kita akan teruskan program ini untuk (mempersiapkan diri) menghadapi tentangan, cabaran dan juga berbagai-bagai rintangan yang kita hadapi, fitnah, cubaan serta cercaan yang berlaku di sekeliling kita.

Tambah beliau lagi, program tersebut bukan ingin mengumpulkan orang atau menyampaikan mesej semata-mata, tetapi susur galur sejarah dalam kehidupan masyarakat dan negara sememangnya mempunyai latar keagamaan yang cukup kuat dan utuh.

Jadi, pada saat saya sebutkan bahawa kita inginkan kejayaan dan kemajuan, hati kita (perlu ada) Dalail al-Khairat yang ada selawat yang berpanjangan untuk diamalkan, (dan) resipi inilah yang menjamin kemakmuran negeri dan Malaysia.  

Beliau mengulas lanjut bahawa masyarakat sedang meniti perjalanan kehidupan yang penuh rintangan dan cabaran, yang memerlukan persiapan diri untuk menghadapinya.

Pada hari ini, kita melihat pada tangan kita secara tidak sedar dan tidak tahu – mana yang fitnah dan mana yang benar? Hanya kecekalan iman kita yang akan digembleng dengan zikir dan selawat (mampu mengatasinya).

Penganjuran Festival Darul Ehsan Berselawat oleh Kerajaan Negeri Selangor yang berlangsung selama tiga malam berturut-turut melabuhkan tirainya pada malam semalam dengan kehadiran ribuan peserta dari seluruh negara.

Program tersebut diakhiri dengan bacaan doa penutup yang dipimpin oleh Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi