Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 30 Disember 2024, 08:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk membuat siasatan secara terperinci susulan kejadian sekumpulan individu yang berhimpun di kawasan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Ibukota, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau semalam, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

“Pihak yang mempunyai maklumat dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada JAWI bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau lagi, semua pihak dinasihatkan agar tidak membuat apa-apa spekulasi tentang kejadian tersebut.

Semua pihak dimohon untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa agama Islam.

Terdahulu, video berkaitan dengan kejadian tersebut tular di media sosial apabila seseorang yang dikenali sebagai Rizuwan Rosly telah memuat naik beberapa hantaran video di laman Facebook beliau dan meluahkan kebimbangannya tentang aktiviti tersebut.

Dalam video tersebut, beliau menyangka beberapa orang individu sedang berkumpul dan berzikir di kawasan tanah perkuburan pada awalnya, tetapi lama-kelamaan, beliau mendakwa keadaan itu semakin pelik tatkala perbuatan mereka seumpama sedang melakukan ritual pemujaan.

Perkongsian video tersebut kepada khalayak telah mengundang pelbagai tanda tanya dan reaksi daripada banyak pihak.

“Aku ingatkan zikir, tapi lama-lama dengar macam memujalah pula. Ini kubur dekat Danau Kota,” katanya dalam hantaran tersebut pada Sabtu lalu.

Walau bagaimanapun, Rizuwan Rosly memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam dan menyerahkan kepada pihak berautoriti berkenaan untuk menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi