Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 27 Disember 2024, 11:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Sejarah baharu bakal tercipta apabila Terengganu bakal melaksanakan hukuman sebatan syariah di hadapan khalayak, iaitu di Masjid al-Muktafi Billah Shah, Ladang, selepas solat Jumaat pada hari ini berikutan tamat tempoh rayuan terhadap tertuduh.

Pelaksanaan hukuman di luar penjara buat pertama kali tersebut bakal menempatkan sebanyak 40 orang anggota polis di sekitar kawasan berkenaan dan 70 orang individu sahaja dibenarkan masuk untuk menyaksikan hukuman tersebut tanpa membawa sebarang alat peranti.

Hukuman tersebut dilaksanakan juga bertujuan untuk memperkasakan undang-undang syariah secara praktikal dan mendidik masyarakat walaupun terdapat bantahan daripada sebilangan kecil kumpulan tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Yang Berhormat (YB) Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam kenyataannya kepada pemberita berkata,

Apa-apa yang penting ialah kita mahu pelaksanaan hukuman ini diketahui oleh umum.

Memang kita sedia maklum berkaitan dengan pelaksanaan hukuman sebat (syariah) berlaku sejak enakmen ini diperkenalkan, namun pemerkasaan (pelaksanaan hukuman di luar penjara) yang dibuat pada kali ini sesuai dan selari dengan maqasid syariah agar menjadi pengajaran kepada masyarakat.

“Kita telah diberi taklimat oleh pihak mahkamah yang turut dihadiri oleh wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia, masjid dan agensi lain supaya pelaksanaannya berjalan dengan baik dan sempurna,” katanya.

Dalam kes tersebut, tertuduh, 42 tahun, terdahulu pernah didenda sebanyak RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai tahun lepas di Mahkamah Rendah Jenayah Syariah Daerah Kemaman.

Walau bagaimanapun, pesalah berkenaan sekali lagi melakukan kesalahan yang sama pada tahun ini, iaitu pada 25 Januari lalu dengan pertuduhan di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syairah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Februari 2024 telah menjatuhi hukuman empat sebatan syariah secara tertutup, denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Tertuduh kini didakwa berkhalwat bersama-sama seorang wanita berusia 52 tahun di Kemaman dan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail telah menjatuhi hukuman enam sebatan syariah, denda sebanyak RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut pada 20 November 2024 bagi kesalahan khalwat berulang.

Mahkamah Rayuan Syariah pada 11 Disember 2024 telah mengekalkan keputusan hukuman serta mengesahkan keadilan dan ketelusan proses perundangan di mahkamah tinggi syariah sebelum ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi