Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 23 Disember 2024, 10:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – 177 orang graduan berjaya menamatkan pengajian persijilan awam pada tahun ini dan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Program Pengajian Sepanjang Hayat Kali ke-4 di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam.

Jumlah graduan tersebut terdiri daripada 10 orang dalam bidang pengurusan masjid, tiga orang dalam bidang pengurusan halal dan 164 orang dalam bidang fiqh wanita daripada 13 buah kelas yang diadakan di lapan buah masjid negeri Selangor.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam ucapannya berkata,

(Perkara) yang penting ialah masjid digunakan sebagai tempat untuk menimba ilmu, bukan sahaja untuk kita bersolat, mendengar ceramah dan sebagainya tetapi juga untuk belajar.

“Mungkin juga pihak Universiti Islam Selangor (UIS) dan Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) boleh memperluas lagi bidang persijilan yang ditawarkan sebagai usaha tambahan untuk menyediakan pendidikan Islam kepada masyarakat dan meletakkan kepentingan ilmu sebagai asas pembangunan insan,” katanya.

Pengerusi MAIS, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika menyampaikan ucapannya.

Menurut beliau, Program Pengajian Sepanjang Hayat merupakan sebuah perancangan gerak kerja MAIS bagi tempoh lima tahun atas galakan daripada Sultan Selangor serta anak-anak syarikat di bawah MAIS.

Beliau turut menzahirkan harapan agar UIS sebagai peneraju tradisi ilmu dapat melahirkan lebih banyak tenaga profesional Islam selaras dengan kewujudan program pengajian sepanjang hayat tersebut.

“Oleh itu, kita perlu meningkatkan diri dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat kerana ilmu yang bermanfaat dapat menjamin kehidupan seseorang untuk masa hadapan, menaikkan taraf kehidupan dan mengelakkan diri daripada ditipu atau ditindas,” jelasnya lagi.

“Marilah kita bersama-sama meningkatkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa baik ilmu dunia mahupun ilmu akhirat, elakkan berasa cukup terhadap ilmu yang kita miliki, teruskanlah usaha kita untuk mencari ilmu selagi hayat masih ada,” ujarnya.

Sementara itu, Program Pengajian Sepanjang Hayat merupakan sebuah inisiatif Bahagian Pendidikan Islam JAIS dengan kerjasama UIS sebagai pelaksanaan kepada Pelan Strategik MAIS 2020 – 2024.

Program tersebut diadakan pada setiap tahun dengan menawarkan persijilan awam dalam lima bidang utama, iaitu bahasa Arab, tasawur Islam, fiqh wanita, pengurusan masjid dan pengurusan halal yang melibatkan 32 buah masjid setakat ini.

Antara objektif program tersebut dilaksanakan termasuklah memberikan peluang kepada masyarakat awam untuk mendalami ilmu agama secara formal melalui guru-guru yang berkelayakan.

Turut hadir dalam majlis konvokesyen tersebut ialah Pejabat Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAIS, YBrs. Encik Mohd Faizal Abdul Raji; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan UIS, YBrs. Profesor Madya Dr. Zetty Nurzuliana Rashed; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni UIS, YBrs. Dr. Abdul Razif Zaini.

Kredit Foto: Facebook - MAIS
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi