Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangChemor – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi pembinaan Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin Tanah Hitam, semalam.
Peruntukan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan tersebut sebagai tambahan kepada dana wakaf yang dikumpulkan oleh penduduk di kawasan berkenaan dalam usaha membangunkan institusi tersebut.
“Saya mengucapkan penghargaan setinggi-tingginya termasuklah penduduk di sini yang telah membangunkan tanah wakaf (dengan pusat pengajian Islam) atas ikhtiar sendiri,” kata beliau ketika berucap dalam Majlis Ziarah Mahabbah dan Kenduri Rakyat bersama-sama penduduk tempatan.

Tambah beliau,
Bagi saya, ikhtiar yang saudara-saudara lakukan ini sangat bermakna kerana bukan hanya bergantung pada sumbangan kerajaan semata-mata, namun mencari ikhtiar sendiri dan usaha ini dalam tradisi Islam sukar disaingi.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa kewujudan pusat pengajian Islam amat penting untuk menerapkan pencerahan dan kefahaman tentang ilmu pengetahuan, adab dan akhlak.
Menurut beliau, pembangunan dan pengimarahan masjid merupakan tanggungjawab bersama, selain peruntukan kerajaan kerana setiap sumbangan daripada umat Islam terhadap pembinaanya akan menjadi saham di akhirat kelak walaupun nilainya sedikit.
Ujar beliau,
“Oleh sebab itu, saya berikan perhatian khas di pusat pengajian ini kerana (merupakan sebuah) ikhtiar seperti pembinaan masjid, serta memakmurkannya itu seruan kepada semua (ahli) kariah, jadi mesti ada saham RM1 atau RM10 mengikut kemampuan masing-masing.”
Beliau berharap martabat pusat pengajian Islam tersebut dapat diangkat dalam usaha membimbing umat dan masyarakat setempat.
Mengulas lanjut, pembinaan Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin atas tanah seluas 6.5 ekar yang diperakukan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak terdiri daripada sebuah dewan kuliah terbuka yang mampu memuatkan 1500 orang, 80 unit rumah pondok, enam unit premis perniagaan dan empat unit rumah berkembar.
Selain itu, pusat pengajian yang didaftarkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-sekolah Agama Islam Negeri Perak Tahun 1996 tersebut bakal menempatkan pelajar tahfiz serta penuntut dalam kalangan warga emas, asnaf dan mualaf.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Haji Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Yang Berhormat (YB) Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican dan pendakwah bebas, iaitu YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah.