Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 13 Disember 2024, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bersepakat menjalinkan kerjasama strategik bagi memperkukuh kefahaman Islam di Perlis.

Selain itu, MAIPs dan IKIM turut membincangkan usaha untuk  meningkatkan kemajuan sosioekonomi di negeri tersebut.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima mengadap delegasi kepimpinan tertinggi IKIM di Galeri Diraja Arau untuk membincangkan usaha tersebut, baru-baru ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima mengadap delegasi kepimpinan tertinggi Institut Kefahaman Islam Malaysia di Galeri Diraja Arau, baru-baru ini.

Delegasi tersebut diketuai oleh Pengerusi IKIM, Prof. Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty bersama-sama Timbalan Pengerusi IKIM, Datuk Wan Mohamad Abd. Aziz; Ahli Lembaga Pengarah IKIM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof Othman; dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Tuanku Raja Muda Perlis menekankan peranan IKIM pada peringkat global, khususnya dalam usaha membantu golongan minoriti Islam di Asia Tenggara melalui pendekatan diplomasi intelektual dan perkongsian ilmu.

Baginda bertitah, usaha ini bukan sahaja memperkukuhkan kesatuan ummah, malah memperkenalkan wajah Islam yang sederhana dan harmoni kepada dunia.

Tuanku Raja Muda Perlis turut menzahirkan sokongan baginda  menzahirkan terhadap inisiatif yang dirancang dan berharap usaha tersebut menjadi pemangkin peningkatan nilai spiritual dan sosial masyarakat di Perlis.

Baginda juga berharap inisiatif tersebut bakal mengangkat peranan IKIM sebagai institusi berwibawa di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor menyatakan kesediaan MAIPs untuk menyokong kerjasama ini melalui program berimpak tinggi yang berlandaskan nilai Islam yang inklusif.

Antara kerjasama yang dirancang termasuklah Program Jelajah Mahabbah yang melibatkan tokoh agama Perlis melalui wacana, ceramah dan aktiviti masyarakat untuk meningkatkan kefahaman Islam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi