Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 8 Disember 2024, 23:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perai – Imej Malaysia yang baik memberikan kekuatan dan pengiktirafan kepada pensijilan halal negara sehinggakan kebanyakan negara Muslim mahupun bukan Islam menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama halal dengan negara ini.

Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata demikian semasa menyampaikan ucapannya dalam Majlis Perasmian Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) yang berlangsung di Jalan Baru Prai, semalam.

Menurut beliau, potensi perdagangan halal yang besar sehingga mencecah lebih USD1 trilion bukan sekadar melibatkan makanan tetapi perubatan, kosmetik dan produk lain.

“Sebab itu kita harus memandang serius bagaimana kita boleh mengangkat keupayaan kita untuk menjadi pusat kegiatan industri halal termasuklah kewangan Islam secara menyeluruh mengikut matlamat dan maqasid syariah,” katanya.

Halal menjadi tarikan kepada banyak negara termasuk negara bukan Islam kerana dianggap penting dan melibatkan pengertian kesihatan secara menyeluruh.

Beliau memaklumkan, hal ini dikatakan demikian kerana terdapat produk halal yang dipertikai tahap kebersihannya akibat wujud kesan sampingan daripada bahan kimia dan pencemaran.

Jelas beliau, perkara ini harus diteroka menerusi kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), kerajaan negeri dan semua pihak agar pengertian konsep halal lebih mantap dan menyeluruh supaya wujud suatu tarikan dalam industri halal.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meninjau reruai selepas Majlis Perasmian PIHEX.

Kita tidak mahu (negara ini) hanya terkenal dari segi pensijilan halal kerana halal ini menjana kegiatan ekonomi.

Beliau turut menyatakan bahawa kegiatan ekonomi harus diperkukuh melalui hubungan antarabangsa dan perdagangan dengan industri tempatan yang mempunyai kepakaran dalam industri halal supaya penyertaan tersebut akan menambah keyakinan pelbagai pihak.

Selain itu, beliau menyentuh tentang institusi bank Islam yang kini hanya bebas riba dirasakan tidak mencukupi dan tidak dilihat sebagai satu alternatif kerana institusi tersebut bukan lagi sistem ekonomi yang memenuhi maksud maqasid syariah serta instrumennya masih sama.

Kita harus berganjak untuk memperkenalkan sistem itu (perbankan Islam yang memenuhi maqasid syariah), instrumennya, penyertaannya dan bukan hanya faktor mencatat keuntungan semata-mata tetapi keadilan sosial, penyertaan ekonomi yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata, kegiatan halal harus diberi tumpuan menerusi penyelidikan dan suntikan dana oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) serta ruang pemasaran daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) supaya syarikat kecil dapat mengeksport produk halal mereka.

Beliau turut berharap penganjuran PIHEX mempunyai prinsip yang sama seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) sebelum ini yang dapat meluaskan kerjasama, serta memberikan ruang dan tumpuan kepada peniaga kecil dalam negara.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ Haji Zulkifli Long dan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YBhg. Sahibus Samahah Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman.

Kredit Foto: Facebook - Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi